Sumbangan Ketua Menteri tepat masanya, lancarkan urusan peperiksaan

Noor Aishah Abu Hassan menunjukkan pembesar suara yang di pasang di setiap kelas yang digunakan untuk peperiksaan.

SUSULAN prestasi akademik yang agak memberangsangkan, Kolej Tingkatan Enam Desa Murni dekat Sungai Dua antara institusi pendidikan awam yang memperoleh perhatian daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pada awal Oktober 2021, kolej berkenaan turut mendapat bantuan kewangan berjumlah RM30,000 daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagi membantu para pelajar menduduki peperiksaan selain melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sistem audio

Pengetuanya, NOOR AISHAH ABU HASSAN menyifatkan bantuan itu diberikan tepat pada masanya memandangkan semua pelajar tingkatan enam dijadualkan menduduki peperiksaan penting pada bulan tersebut.

Noor Aishah Abu Hassan ketika ditemui dalam wawancara khas baru-baru ini.

Malah menurut beliau, sumbangan tersebut turut memberi kelegaan kepada pentadbir kolej yang pada ketika itu amat memerlukan kelengkapan untuk membantu para pelajar menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) dengan lancar khususnya bagi kertas ‘Listening‘.

“Sebelum pandemik COVID-19, pelajar menduduki peperiksaan MUET bagi kertas ‘Listening’ di dalam satu dewan kerana ia memerlukan audio.

“Namun, selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, pelajar perlu diletakkan di dalam kelas untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) terutamanya dari segi penjarakan fizikal.

“Ini bermakna peperiksaaMUET yang dijalankan serentak pada 23 Oktober 2021 tidak boleh dibuat di dalam satu dewan peperiksaan 100 peratus sebagaimana lazimnya dilakukan sebaliknya perlu diasingkan dalam beberapa kelas.

“Setiap kelas pula dihadkan kepada 10 pelajar sahaja, dan ini bermakna kita (pentadbir kolej) perlu menggunakan beberapa kelas sekali gus memerlukan banyak sistem audio seperti pembesar suara dan radio,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui pada 17 Disember 2021.

Noor Aishah menyatakan bahawa pihaknya sebelum itu pernah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (Pulau Pinang) bagi mendapatkan kemudahan tersebut tetapi gagal atas faktor kekurangan peruntukan.

Sistem audio yang dibeli menggunakan sumbangan daripada Ketua Menteri.

 

“Kita juga pernah minta bantuan untuk mendapatkan radio daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tetapi diberitahu ia tidak mencukupi kerana banyak sekolah memerlukan kelengkapan yang sama.

“Jadi kami memaklumkan kepada pejabat Ketua Menteri mengenai keperluan pihak kolej membeli audio untuk digunakan semasa peperiksaan MUET.

“Pada bulan Jun kami diminta mengemukakan surat permohonan dan kemudiannya disusuli dengan kertas kerja, alhamdulillah… pada awal bulan Oktober 2021, kami berjaya mendapatkan peruntukan yang diperlukan,” ulasnya lanjut.

Beliau memberitahu bahawa pihaknya berdepan masalah untuk menyediakan radio bagi membolehkan pelajar menduduki peperiksaan pada waktu tersebut di samping kesempitan masa untuk mendapatkan radio dalam kuantiti yang banyak.

“Walau bagaimanapun, melalui sumbangan Ketua Menteri, kami berjaya menyediakan sistem audio yang diperlukan untuk peperiksaan MUET, dan pada masa sama ia telah memudahkan barisan pengajar serta pihak kolej.

“Sekarang kami berasa sangat lega kerana pelajar-pelajar dapat menggunakan kemudahan ini semasa menjalani peperiksaan bukan sahaja untuk subjek MUET tetapi juga untuk kertas ujian yang lain.

“Oleh itu, saya mewakili pihak kolej ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana telah memberi peruntukan kepada kami,” ujarnya mesra.

Bantuan komputer riba

Selain sumbangan kewangan,beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyalurkan bantuan pinjaman komputer riba kepada pelajar yang memerlukan di bawah Program Komputer E-Pembelajaran.

“Ada juga dalam kalangan pelajar kami yang berdepan masalah ketiadaan computer riba untuk menjalani sesi PdPR kerana sebahagian daripada mereka datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Antara sijil pencapaian yang diterima Kolej Tingkatan Enam Desa Murni.

“(Dan) selepas memohon kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, seramai empat orang daripada 32 pelajar kami layak menerima bantuan pinjaman komputer riba,” jelasnya.

Difahamkan, Kolej Tingkatan Enam Desa Murni telah dinaik taraf daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Murni pada tahun 2019, dan menempatkan hampir 400 pelajar tingkatan enam atas serta enam bawah dari sekolah-sekolah di sekitar kawasan Kepala Batas.

Mengulas mengenai prestasi cemerlang kolej berkenaan, Noor Aishah menyatakan bahawa seramai lima pelajar berjaya mencatatkan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun 2019 dan 2020.

“Kesemua pelajar yang mendapat CGPA 4.0 mendapat anugerah dan insentif berjumlah RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Selain itu, Kolej Tingkatan Enam Desa Murni mencatatkan 100 peratus pelajar yang lulus peperiksaan STPM dan layak mendapat sijil penuh pada setiap tahun sejak 2019,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR