Rundingan projek pengambilan air Sungai Perak capai persetujuan dasar awal – Exco

90e56c34 a78e 4913 ab02 06a09142f748

GEORGE TOWN – Projek pengambilan air dari Sungai Perak yang menjadi inisiatif strategik jangka panjang bagi menjamin keselamatan bekalan air Pulau Pinang terus menunjukkan perkembangan positif.

Menurut Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari, projek tersebut merupakan pelan penting untuk memastikan kelestarian bekalan air mentah sehingga tahun 2050.

“Projek pengambilan air dari Sungai Perak adalah langkah jangka panjang untuk menjamin kesinambungan bekalan air mentah bagi Pulau Pinang.

“Ia merupakan penyelesaian strategik yang akan memastikan keselamatan air negeri sehingga tahun 2050,” jelasnya semasa menjawab sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-15 di sini pada 14 November 2025.

Mengulas lanjut, Zairil turut memaklumkan bahawa projek tersebut melibatkan perancangan dan kerjasama antara kedua-dua Kerajaan Negeri serta Konsortium Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi memastikan proses pelaksanaan berjalan lancar.

“Kerajaan Negeri Perak telah melantik Konsortium PKNP dan Kumpulan Gamuda Berhad sebagai wakil rasmi bagi mengadakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Malah, beberapa siri mesyuarat telahpun diadakan, dan melalui Mesyuarat Rundingan Bilangan 3 Tahun 2025 pada 10 Oktober lalu, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dasar sebagai asas pertimbangan Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan berhubung cadangan pembelian air terawat daripada Negeri Perak.

“Projek ini dijangka menjadi tonggak utama dalam usaha memastikan sumber air Pulau Pinang kekal stabil dan mencukupi selaras dengan keperluan jangka panjang pertumbuhan penduduk dan pembangunan negeri,” jelasnya bagi menjawab Soalan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN