RUU Anti Lompat Parti jadi Enakmen negeri

Admin

GEORGE TOWN – Rang Undang- Undang Anti Lompat Parti 2012 dipersetujui menjadi (RUU) Enakmen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini.

27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mesra Kerajaan Negeri sebulat suara bersetuju dengan Enakmen itu demi merealisasikan integriti politik di negeri berkenaan pada Pilihanraya Umum nanti.

ADUN Telok Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, Datuk Jasmin Mohamed (ADUN Sungai Dua), Datuk Mahmud Zakaria (ADUN Sungai Acheh) dan Zabariah Wahab (ADUN Bertam) masing-masing menyatakan pendirian “tidak mengundi” selepas bacaan rang undang-undang kali kedua dan ketiga dilakukan di dewan.

“Saya percaya sekiranya diluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 ini, pastinya sistem demokrasi di negeri ini akan menjadi lebih mantap dan matang, dan keyakinan rakyat terhadap ahli-ahli politik juga akan bertambah,” kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa membentangkan rang undang-undang tersebut.

Dengan kelulusan Enakmen tersebut, Perkara baru 14A, bertajuk “Pertukaran parti politik seorang ahli”, selepas Perkara 14 dalam Perlembagaan Negeri.

Fasal (1) Perkara baru ini memperuntukkan bahawa seseorang ahli Dewan yang telah dipilih sebagai calon sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keahliannya atau berhenti daripada menjadi ahli parti
politik tersebut atas apa-apa jua sebab.

Sebaliknya, seorang ahli yang dipilih sebagai calon bebas hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia menyertai suatu parti politik.

Fasal (2) Perkara 14A pula mengecualikan keadaan di mana seorang ahli berhenti daripada menjadi ahli parti politiknya akibat pembubaran atau pembatalan pendaftaran partinya, atau di mana seorang ahli melepaskan keahlian partinya atas sebab pemilihannya sebagai Yang di-Pertua Dewan.

“Sekiranya berlaku pertukaran parti politik seorang ahli seperti yang diperuntukkan dalam Fasal (1), maka kerusi ahli tersebut akan dianggap kosong secara automatik, dan Yang di-Pertua Dewan hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya mengikut Fasal (4).

“Walaubagaimanapun, ahli yang telah mengosongkan kerusinya menurut Perkara 14A boleh bertanding semula dalam mana-mana pilihanraya yang berikutnya, mengikut Fasal (3),” ujar beliau.