Pemasangan AES tidak dibenarkan

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan sebarang pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri ini.

Malah, selain kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal diarahkan untuk menanggalkan kamera berkenaan, Kerajaan Negeri juga bersedia ke mahkamah sekiranya terdapat sebarang pertikaian berhubung perkara tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, keputusan tersebut diambil selepas pegawai kanan Kementerian Pengangkutan menangguhkan taklimat pemasangan kamera AES kepada Exco Kerajaan Negeri pada 30 Oktober lalu.

Beliau berkata, taklimat itu sepatutnya diadakan semula dalam tempoh sebulan, tetapi Kerajaan Negeri difahamkan pihak terbabit tidak akan mengadakannya tanpa memberi sebarang alasan.

“Saya jangka taklimat itu dibatalkan atas arahan pihak atas, maka, Kerajaan Negeri tidak akan benarkan kamera AES dipasang di negeri ini,’’ katanya pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, sekiranya dipasang, kedua-dua PBT iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan diarahkan untuk menurunkannya.

“Saya juga minta pengguna kenderaan untuk perhatikan, sekiranya ada, maka, ia dibuat tanpa persetujuan Kerajaan Negeri.

Jika dipasang dan diturunkan, apa-apa pertikaian berhubung perkara tersebut, Kerajaan Negeri sedia ke mahmakah,’’ tegasnya.

Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri lazimnya tidak menentang sebarang usaha pematuhan peraturan-peraturan lalulintas atau pengangkutan jalan.

“Tetapi, untuk AES, kita menentang kerana had laju yang ditetapkan adalah tidak selaras dengan keadaan semasa. Dengan kelajuan 50 atau 60 kilometer sejam, sudah tentu menyusahkan pengguna jalan raya. Lebih baik pengguna jalan raya turun dan tolak kereta.

“Kedua, dua syarikat kroni Barisan Nasional (BN) bakal mendapat komisen untuk setiap keping saman dikeluarkan.

“Ini tidak boleh diterima langsung kerana penguatkuasaan tidak boleh diswastakan kepada dua syarikat swasta. Sebaliknya, ia adalah kuasa sebuah kerajaan yang dipilih rakyat,’’ tegas Guan Eng.