Sabah minat jalin kerjasama dengan Pulau Pinang majukan sektor perindustrian

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Sabah berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Pulau Pinang terutama dalam sektor perindustrian.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, beliau turut tertarik dengan perkembangan industri elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang yang merupakan antara penyumbang terbesar pelaburan negara.

Sehubungan itu, menurut beliau, Sabah berminat untuk bekerjasama dalam bidang tersebut melalui hubungan bilateral yang terjalin dengan negeri ini.

“Pastinya, Sabah berminat untuk meneroka bidang-bidang baharu untuk meningkatkan sektor perindustriannya.

“Sabah juga tidak hanya boleh bergantung kepada sumber asli, sebaliknya perlu mempelbagaikan sumber sedia ada antara sektor industri, sektor pertanian dan lain-lain (sektor) yang wajar.

“(Dan), saya pasti kita (Pulau Pinang dan Sabah) dapat menjalinkan lebih banyak kerjasama, saling hubungan (connectivity) dan perangkaian (networking) pada masa hadapan bukan hanya dalam sektor-sektor tertentu sahaja,” ujarnya pada sesi pertemuan bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pagi ini.

Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah mengadakan kunjungan hormat tersebut sempena siri lawatan kerja dua hari ke Pulau Pinang pada 27 dan 28 September 2018.

KETUA Menteri bersalaman dengan Wilfred Madius Tangau (kiri) sejurus mengadakan pertemuan tertutup di Komtar, pagi ini.

Pada pertemuan tersebut, selain membincangkan hala tuju kerjasama antara Sabah dan Pulau Pinang, turut disentuh adalah isu pembangunan sektor pelancongan, pengangkutan, kesihatan, bioteknologi dalam sektor pertanian serta guna tenaga.

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Teh Lai Heng.

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap agar lebih banyak perkongsian idea dan kerjasama dapat dijalinkan pada masa hadapan untuk merangsang serta memajukan sektor-sektor berdaya tinggi bagi kedua-dua negeri.

“Saya percaya kita (Pulau Pinang dan Sabah) berpeluang untuk melihat beberapa perubahan dalam era Malaysia Baharu.

“Setiap negeri mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan bagi Pulau Pinang yang tidak mempunyai sumber asli, pastinya sektor industri dan modal insan menjadi keutamaan.

“Apatah lagi dengan perkembangan internet of things (IoT), Revolusi Industri 4.0 dan teknologi, kepelbagaian (diversity) dalam setiap sektor serta bidang perlu untuk mendepani saingan global.

“(Dan) inilah cabaran yang perlu dihadapi semua (negeri),” jelasnya yang turut menyatakan kesediaan untuk berkongsi pengalaman pembangunan sektor perindustrian di negeri ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS