‘Saga Kami’ sarat kisah, perjalanan sebuah kereta nasional pada 1985 – Me

GEORGE TOWN – Mohd Azmi Mohd Hussin atau lebih mesra disapa dengan panggilan ‘Me’, kartunis yang dikenali dengan penglibatan beliau dalam mencipta hasil seni kreatif, kini kembali mencabar diri dalam menghasilkan komik terpanjang sekali gus mencipta satu lagi rekod Malaysia Book of Record (MBOR) buat dirinya.

 

Karya terbarunya ‘Saga Kami’ hasil cetusan idea pada tahun 2018 yang mana difahamkan beliau telah menghantar kertas cadangan ke syarikat kereta kebanggaan nasional, Proton untuk mendapatkan maklum balas mengenai idea yang ingin diketengahkan iaitu kereta Proton dalam karyanya.

 

Rezeki menyebelahi Me apabila Yayasan Hasanah bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM10,000 bagi meneruskan projek tersebut dan membolehkan beliau membeli bahan-bahan utama yang diperlukan.

 

Me yang tekun menyiapkan komik ‘Saga Kami’ ketika ditemui tadi.

Sedikit jalan cerita yang sempat Me kongsikan adalah ‘Saga Kami’ mengisahkan tentang seorang pemuda Melayu bernama Aji yang ingin mencari kembali kereta Proton yang pernah digunakan ayahnya sewaktu dahulu sekitar tahun 1985.

 

Perjalanan kereta Proton tersebut bermula apabila ayah Aji menjadi pemilik yang pertama kemudian dijual kepada pembeli berbangsa India, dan seterusnya atas sebab-sebab tertentu dijual pula kepada pembeli berbangsa Cina.

 

Karya ‘Saga Kami’ sememangnya mengetengahkan tentang kehidupan rakyat Malaysia berbilang kaum yang mengamalkan adat dan mempamerkan keunikan budaya masing-masing lalu dilihat daripada perspektif sebuah kereta Proton Saga.

 

Me menunjukkan sebahagian komik yang telah siap dilukis.

Kali ini, Me cuba menghasilkan karya berbentuk kolom komik terpanjang iaitu sepanjang 150 meter, dan sehingga pagi ini (28 November 2021), sepanjang 115 meter telah siap dilukis.

 

Antara peralatan wajib yang digunakan Me adalah pen Sharpie, marker, brush pen dan kertas lukisan setebal 180gsm.

 

Me berharap untuk karya kali ini, mesej yang cuba dilontarkan sampai ke hati masyarakat kerana jalan cerita di komik ini padat dengan kisah dan pengajaran bernilai. Malah, beliau berharap untuk mempamerkan karyanya itu di syarikat Proton nanti.

 

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: KEVIN VIMAL