Saliran bawah tanah kurangkan risiko banjir kilat di Lorong Ikan

Admin

GEORGE TOWN – Sistem saliran bawah tanah bakal dibina di Lorong Ikan, di sini sebagai usaha untuk mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan setempat.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, selain pembinaan saliran bawah tanah, longkang di bahu jalan juga akan dinaik taraf bagi menampung aliran air semasa hujan lebat.

 

“Parit (di bahu jalan) sedia ada berukuran 0.15meter (m) lebar akan dinaik taraf kepada saiz lebih besar iaitu 0.30m lebar dan membina parit baharu berukuran 0.60m hingga 0.90m lebar.

 

“Parit baharu ini akan dijadikan sebagai tempat takungan air hujan ketika hujan lebat sebelum dialirkan ke Terusan Prangin.

 

“Projek bernilai RM162, 768 ini adalah peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerjaan Tempatan yang dijangka bermula pada 20 Julai dan dijangka siap pada 20 Oktober 2020,” ujarnya kepada pemberita sebentar tadi.

 

Mengulas lanjut, Lai Heng menjelaskan bahawa antara komponen utama projek berkenaan termasuklah pembinaan box culvert bersaiz 0.6m lebar dan 0.9m lebar sepanjang 120m.

 

“Selain itu, turut akan dilaksanakan adalah pembinaan parit konkrit berkelebaran 0.3m bersama-sama kemasan bata bullnose serta menurap semula Lorong Ikan.

 

“Walau bagaimanapun, laluan di Lorong Ikan ini tidak akan ditutup kerana projek ini hanya melibatkan kerja-kerja pengorekan di bahagian tengah yang dilakukan pada waktu siang,” katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ALISSALA THIAN