SAM buka kilang pembuat komponen pesawat di Pulau Pinang, Menteri puji Kon Yeow

BUKIT TAMBUN – Syarikat pembuat bahagian fizikal pesawat awam Singapura, SAM Precision pagi ini membuka sebuah lagi sayap kilang baru di Pulau Pinang untuk menghasilkan struktur selongsong Airbus A320neo dan A350.

Mengulas lanjut, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darel Leiking menyatakan bahawa negeri-negeri lain perlu mencontohi Pulau Pinang sebagai antara destinasi FDI pilihan serantau, yang ketika ini di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

“Negeri-negeri lain di Malaysia perlu melihat bagaimana Pulau Pinang dibangunkan dengan ekosistem ekonomi yang baik, sistem rantaian bekalan yang mencukupi dan penstrukturan ekonomi berasaskan perindustrian.

“Saya yakin Y.A.B. (Kon Yeow) dapat berkongsi pengalaman dengan negeri-negeri lain mengenai kaedah mengurus pelaburan negeri.

“Sebenarnya, berapa banyak pun angka pelaburan langsung asing (FDI) masuk ke Pulau Pinang, paling penting adalah kualiti pelaburan dalam pembangunan industri di tanah air ini.

“Apa jua jenis kejuruteraan ataupun produk yang dihasilkan kelak, saya tak pasti apa yang anda semua fikirkan tapi saya rasa industri Airbus pada tahun 2020 ataupun 2030 nanti akan menjadikan Malaysia lebih mesra (pelabur),” jelasnya dalam sidang media sebelum berucap pada Majlis Pembukaan Kilang SAM Precision (M) Sdn. Bhd. dekat Taman Sains Pulau Pinang, Bukit Minyak di sini pada 21 Februari 2019.

Selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyempurnakan acara perasmian majlis pembukaan kilang itu.

Turut berucap, Pengerusi SAM Engineering & Equipment Bhd. (SAMEE), Tan Kai Hoe.

Kai Hoe memberitahu bahawa pembukaan kilang seluas 145,000 kaki persegi di sini dengan nilai pelaburan sejumlah RM140 juta adalah membabitkan jumlah pengambilan tenaga buruh terlatih maksimum sehingga 200 orang kelak.

“Sehingga kini, keseluruhan pelaburan SAMEE adalah lebih RM500 juta, dan hari ini mempunyai lebih 1,200 pekerja,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD