Segera baiki aliran trafik ke AEON Bkt. Mertajam

Admin

Oleh: ZAINUL FAQAR YAACOB

MACHANG BUBUK – Lampu trafik berhadapan pintu utama pasar raya AEON Bukit Mertajam dekat Jalan Rozhan dinyah fungsi mulai 13 Jun lalu untuk satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak demi memperbaiki sistem aliran trafik di sepanjang jalan utama berkenaan di sini.

Lanjutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon turut meminta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membentangkan semula Kajian Impak Trafik (TIA) berwajib memandangkan pasar raya tersebut telahpun beroperasi.

Beliau berkata demikian selepas berbincang dengan wakil MPSP, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pasar Raya AEON sendiri.

“Banyak aduan diterima (menyebut) trafik sesak teruk pada waktu puncak, terutama pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Saya telah meminta aliran trafik di sini segera diperbaiki, kalau boleh sebelum masuk bulan puasa (Ramadhan) dan musim perayaan (Hari Raya Aidilfitri),” ujarnya kepada pemberita baru- baru ini, sebelum meninjau lokasi kesesakan trafik di sini.

Penolong Pengurus Pasar raya AEON, Rohaniza Harun, Norhamiza Mohd. Rosli (Penolong Jurutera JKR Daerah Seberang Perai Tengah) serta dua Ahli Majlis bagi MPSP, Michael Tan Cheong Eng dan Ho Leng Hong turut menyertai perbincangan ringkas di sini.

Hadir sama, Pengasas MPSP Watch, Bernard Cheen dan Mohd. Ikhwan Nasser Mohamad Isa (Pegawai Khas Lee Khai Loon) serta wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi Taman Impian, Taman Impian Jaya, Taman Alma Jaya dan Taman Sri Kijang.

Leng Hong pula mengesyorkan agar 1,619 petak letak kenderaan utama berdepan AEON dibuka lebih awal, demi mengelakkan pengunjung pasar raya berkenaan serta pengguna lain lebih memilih untuk parkir di bahu jalan raya utama secara salah.

Malah, syor beliau lagi, pihak berwajib wajar menyediakan laluan melintas jalan yang lebih sempurna jika mahu memaksimakan penggunaan 222 petak parkir sementara lain milik AEON, berdekatan Kompleks MyDeport di sini.

Mengulas mengenai syor tersebut, Rohaniza menjelaskan, pihaknya memilih untuk membuka tapak parkir utama seawal jam 10 pagi hingga 10 malam demi mengutamakan keperluan pekerja serta pelanggan sebenar AEON.

Bagaimanapun, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berwajib supaya isu kesesakan trafik di Jalan Rozhan yang berbangkit tersebut dapat diselesaikan sesegera mungkin demi kepentingan penduduk setempat.