Sambungan Jalan 80 Kaki di Jalan Tasek Mutiara 10, pemasangan lampu isyarat baharu lancarkan trafik di SPS

Admin
img 20260526 wa0111

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri terus komited memperkukuhkan jaringan infrastruktur jalan raya di Seberang Perai Selatan (SPS) menerusi pembukaan Sambungan Jalan 80 Kaki di Jalan Tasek Mutiara 10 dan pemasangan lampu isyarat baharu di persimpangan Jalan Hijauan Hills 1-Jalan Valdor di sini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek tersebut berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju serta penduduk setempat.

Menurut beliau, pembinaan jalan penghubung itu merupakan antara komitmen dan janji Kerajaan Negeri kepada penduduk di kawasan berkenaan pada pilihan raya lalu.

“Walaupun pelaksanaannya berdepan beberapa cabaran dan rintangan di pertengahan jalan, Kerajaan Negeri terus komited memastikan projek ini dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.

“Kejayaan hari ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja merancang pembangunan tetapi juga berusaha sedaya upaya untuk menunaikan janji yang telah diberikan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian jalan berkenaan dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat yang juga ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Ibrahim Md. Nor; Pengarah Jabatan Perhubungan Komuniti MBSP, Tpr. Mohd. Ridzal Abdul; barisan Ahli Majlis bagi MBSP serta wakil-wakil pemaju.

img 20260526 wa0114img 20260526 wa0107img 20260526 wa0108

Majlis tersebut melibatkan dua komponen utama iaitu pembukaan sambungan jalan rizab 80 kaki dari Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills 1 oleh Tetuan Palmington Sdn. Bhd. serta pemasangan lampu isyarat dan kerja naik taraf persimpangan Jalan Hijauan Hills 1-Jalan Valdor oleh Tetuan Asas Dunia.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, pembukaan sambungan jalan berkenaan amat penting kerana menghubungkan kawasan Bandar Tasek Mutiara dengan Hijauan Hills dan Jalan Valdor, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik serta memudahkan pergerakan harian penduduk.

Katanya, antara kawasan yang menerima manfaat langsung ialah Bandar Tasek Mutiara, Pearl City, Hijauan Hills, Valdor, Taman Merak Jaya serta kawasan sekitar Simpang Ampat.

Selain itu, projek tersebut turut meningkatkan kebolehcapaian ke beberapa institusi pendidikan berhampiran.

Beliau berkata, sambungan jalan sepanjang kira-kira 380 meter (m) itu dibina sebagai jalan dua hala empat lorong dalam rizab jalan 80 kaki dan dilengkapi pelbagai ciri keselamatan serta kemudahan awam.

“Antara kemudahan yang disediakan termasuk gantri berketinggian 2.8m, lampu amaran, bonggol jalan, lampu jalan dan papan tanda jalan.

“Kerja pembinaan telah siap sepenuhnya dengan anggaran kos keseluruhan sekitar RM5 juta,” ujarnya.

Zairil berkata, kenderaan berat berketinggian melebihi 2.8m tidak dibenarkan melalui jalan tersebut atas faktor keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Tambah beliau, jalan penghubung tersebut akan diselenggara sepenuhnya oleh pihak pemaju bagi tempoh tiga tahun selaras dengan syarat kelulusan yang ditetapkan.

Menyentuh mengenai pemasangan lampu isyarat dan kerja naik taraf Persimpangan Jalan Hijauan Hills 1-Jalan Valdor pula, Zairil berkata, projek itu dilaksanakan sebagai syarat kelulusan pelan Kebenaran Merancang bertarikh 15 November 2022 bagi cadangan pembangunan stesen minyak dan pembangunan komersial berkaitan.

Menurutnya, walaupun pembangunan tersebut masih belum dimulakan, pihak pemaju diarahkan menyiapkan terlebih dahulu kerja naik taraf persimpangan berkenaan bagi memastikan kelancaran aliran lalu lintas.

“Antara skop utama yang telah dilaksanakan termasuk pindaan persimpangan sedia ada daripada konfigurasi ‘left-in left-out’ kepada persimpangan berlampu isyarat, pelebaran Jalan Valdor di kedua-dua arah, pemasangan lampu jalan tambahan, penyediaan kemudahan pusingan U bagi kedua-dua hala serta pembinaan bonggol jalan di Jalan Hijauan Hills 1.

“Anggaran kos keseluruhan kerja naik taraf ini adalah sekitar RM3.5 juta,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS