Sambut baik hasrat terokai peluang kerjasama lebih meluas

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat Duta Besar (Luar Biasa dan Berkuasa Penuh) Republik Indonesia ke Malaysia, Hermono di pejabatnya di Komtar.

 

 

Hadir sama, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto serta anggota delegasi yang terdiri daripada Ketua Hal Ehwal Ekonomi Pejabat Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI), Kiki Tjahjo Kusprabowo dan Pegawai Politik Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), Reno Dwi Hepsari.

 

 

 

KETUA Menteri mengadakan perbincangan bersama-sama Hermono (tiga dari kiri) dan delegasi KBRI di Komtar.

 

Difahamkan, kunjungan berkenaan adalah bertujuan mengukuhkan hubungan serantau antara Indonesia dan Pulau Pinang terutama dalam meningkatkan hubungan ekonomi.

 

 

Selain itu, Hermono turut berhasrat untuk mempergiatkan kerjasama dan meneroka peluang baharu dalam bidang kebudayaan dan warisan seperti yang dihasratkan oleh Presiden Republik Indonesia (RI), Joko Widodo.

 

 

Pertamanya, saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas bantuan dan kerjasama terhadap KJRI dan pekerja migrin warga RI yang ada di Pulau Pinang setiap masa terutama selama terjadinya pandemik (COVID-19) ini.

 

 

“Sememangnya tempoh itu sangat mencabar apabila lebih 300,000 pekerja migrin warga RI pulang ke Indonesia akibat pandemik dan semestinya bagi pihak Indonesia termasuk Presiden sendiri amat berharap rundingan pembukaan sempadan (antara Malaysia serta Indonesia) dapat diselesaikan segera,” ujarnya pada pertemuan selama 30 minit itu.

 

 

Menurut Hermono lagi, kebanyakan warga Indonesia yang datang ke Pulau Pinang adalah bagi mendapatkan rawatan perubatan dan juga melancong.

 

 

Dalam pada itu, Kon Yeow menyambut baik hasrat RI yang mahu menerokai peluang yang lebih meluas bersama-sama Pulau Pinang.

 

 

Di Pulau Pinang, komuniti diplomatik sangat aktif dalam menjalinkan kerjasama yang amat baik sama ada secara bilateral mahupun multilateral.

 

“(Dan) pastinya dalam menjalinkan hubungan kerjasama melalui sektor pembuatan di negeri ini, sektor pelancongan perubatan atau ‘medical tourism’ juga menjadi kekuatan buat Pulau Pinang.

 

 

“Pulau Pinang berharap agar dapat diwujudkan laluan khas seperti vaccinated travel lanes (VTL) yang dapat memulihkan semula beberapa sektor di negeri ini,” katanya yang turut dipersetujui oleh Hermono.

 

 

Turut dibincangkan pada pertemuan itu adalah mengenai usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan penginapan kepada pekerja warga asing di negeri ini mengikut standard antarabangsa yang mana akan membuka ruang penambahbaikan pada masa hadapan.

 

 

Pada akhir pertemuan tersebut, kedua-dua pihak saling bertukar-tukar cenderamata sebagai penghargaan dan ingatan.

 

 

Sebagai rekod, di Pulau Pinang terdapat 22 Konsulat negara asing termasuk dari Republik Indonesia, Republik Rakyat China, Jepun dan Thailand.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING