Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri 2020 dilancar

Admin

BUKIT TAMBUN – Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2020 dilancarkan secara gilang-gemilang serta penuh warna-warni, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Kompleks Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua) di sini.

Dalam ucapannya, Kon Yeow berkata bahawa penganjuran majlis itu mencatatkan sejarah tersendiri kerana disambut secara hybrid iaitu gabungan dua elemen fizikal serta digital yang diadakan secara serentak oleh semua negeri bersama-sama Kerajaan Persekutuan.

Tambah beliau, walaupun terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) dan normal baharu untuk memerangi pandemik COVID-19, namun semangat patriotisme dalam kalangan rakyat adalah tidak pernah luntur.

Chow Kon Yeow melepaskan peserta Konvoi On Wheels Merdeka selepas menyempurnakan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pagi tadi.

“Kita gembira pada tahun ini kerana masih berkesempatan meraikan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang meskipun terhad dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

“Selari dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, sambutan pada tahun ini semestinya mempunyai intipati serta matlamat tersendiri yang menuntut semua pihak untuk berganding bahu melawan COVID-19 daripada terus berleluasa.

“Keprihatinan semua pihak dalam menjaga antara satu sama lain memberi pengertian yang cukup besar sekaligus menyuntik semangat kita semua untuk terus maju selaras dengan aspirasi serta pengertian semangat kemerdekaan itu sendiri,” ujarnya dalam ucapan sebelum melancarkan program berkenaan sebentar tadi.

Turut serta, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’Abdul Razak Jaafar; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli-ahli parlimen serta ramai lagi.

Menurut Kon Yeow, sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang merupakan salah satu usaha kerajaan dalam meningkatkan penghayatan nilai-nilai serta semangat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati, aman dan cemerlang.

“Hidup dalam kalangan berbilang kaum menuntut dan mengajar kita semua untuk sentiasa bertolak ansur serta hormat-menghormati antara satu sama lain agar perpaduan terus kekal terjalin.

“Kepelbagaian budaya dan adat resam yang ada menjadikan Malaysia sangat istimewa serta unik dan merupakan tonggak kekuatan serta kesejahteraan negara selama ini,” katanya.

Menerahkan bendera kepada orang awam yang melaui Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Difahamkan, sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri pada tahun ini dianjurkan bersama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Penerangan Malaysia negeri.

Bertemakan ‘Malaysia Prihatin’, sambutan pada tahun ini turut dimeriahkan dengan pelbagai program seperti Merdeka@Komuniti, pertandingan pidato kenegaraan, sayembara puisi merdeka, pertandingan pengisahan kenegaraan dan pertandingan fotografi KLIK@Merdeka yang berlangsung mulai 16 Julai hingga 30 Ogos ini.

Pada sidang media selepas itu, Kon Yeow menyeru semua pihak supaya mengibarkan Jalur Gemilang sama ada pada kenderaan atau premis masing-masing untuk menyemarakkan lagi semangat kenegaraan terutamanya dalam melawan COVID-19.

“Ini satu kesempatan yang baik untuk kita gemblengkan segala tenaga sempena bulan kemerdekaan dan serentak itu untuk melawan COVID-19 kerana perpaduan serta semangat patriotisme adalah amat penting dalam menggalakkan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan,” serunya.

Sambutan Bulan Kebangsaan da kempen Kibar jalur Gemilang dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Penerangan negeri.

Dalam pada itu, Pengarah Penerangan Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Sabri Said berkata, sehingga kini, pihaknya telah mengedarkan kira-kira 5,000 bendera kepada wakil-wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil-wakil jabatan.

“Sepanjang tempoh 16 Julai hingga 30 Ogos 2020, kami bakal mengadakan 100 program ‘Info On Wheels’ di peringkat negeri Pulau Pinang yang mana satu daerah akan menganjurkan 20 program sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

Pada program tersebut, sebanyak 40 agensi kerajaan terdiri daripada agensi negeri dan Persekutuan menerima bendera Jalur Gemilang daripada Kon Yeow sebelum beliau menyempurkan sesi pelepasan konvoi ‘Info On Wheels’ Merdeka yang disertai oleh 11 agensi berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING