Sambutan Hari Bumi 2019: Arca pasir harimau Malaya ‘mengaum’ di Pasar Chowrasta

Admin

GEORGE TOWN – Sempena sambutan Hari Bumi yang disambut hari ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif menganjurkan pameran arca pasir di ruang legar Pasar Chowrasta dekat sini.

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, pameran yang bertemakan ‘Protect Our Species’ itu mengetengahkan hasil karya artis arca pasir terkenal, Mohammad Ikhwan Ibrahim.

“Pameran arca pasir berbentuk harimau Malaya ini adalah sebagai langkah memberitahu kepada orang ramai bahawa spesies ini semakin diancam kepupusan.

“Lazimnya harimau dianggap sebagai simbol keberanian dan kekuatan dengan wajah yang garang, hakikatnya ia semakin berkurangan.

“Jadi sebagai rakyat, kita perlu memberikan perhatian untuk bersama-sama menjaga ekosistem dan alam sekitar kita agar generasi akan datang dapat menikmati dan mengenali harimau Malaya,” ujarnya ketika berucap pada majlis berkaitan tadi.

Pameran arca pasir berbentuk harimau Malaya artis arca pasir terkenal, Mohammad Ikhwan Ibrahim.

Mengulas lanjut, Tung Seang turut menasihati orang awam supaya tidak menggunakan penyedut minuman atau straw dan plastik sekali guna yang bukan sahaja mengancam alam sekitar tetapi juga hidupan di daratan dan lautan.

“Straw dan beg plastik memerlukan lebih 450 tahun untuk dilupuskan sepenuh dan sekiranya dibuang ke laut, ikan dan penyu akan memakannya dan kesudahannya kita memakannya.

“Jadi, kurangkan penggunaan straw dan beg plastik sekali guna kerana ia boleh mengancam hidupan,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Ikhwan ketika ditemui berkata, pemilihan untuk mengukir harimau Malaya adalah bertepatan dengan tema sambutan Hari Bumi tahun ini.

“Sebagai rakyat, kita perlu mengambil peduli dan sama-sama mencegah daripada kepupusan spesies istimewa ini.

“Malah, saya difahamkan hanya terdapat kira-kira 250 ekor harimau Malaya yang masih ada di Malaysia dan jumlahnya semakin berkurangan.

“Oleh itu, ayuh sama-sama melaksanakan peranan masing-masing memelihara alam sekitar dan membendung kepupusan spesies istimewa ini,” jelasnya yang dikenali dengan panggilan Ikhwan Saloot.

Difahamkan, Mohammad Ikhwan mengambil masa lima hari untuk menyiapkan arca pasir tersebut.

Orang ramai yang ingin melihat hasil karya anak muda Pulau Pinang ini, bolehlah ke ruang legar di Pasar Chowrasta sehingga hujung bulan ini,

Teks & Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN