Sambutan Hari Wanita Sedunia 7 Mac, pilih tema ‘Inspirasikan Keterangkuman’

whatsapp image 2024 02 26 at 12.30.41

GEORGE TOWN – Sambutan Hari Wanita Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang bakal diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 7 Mac ini.

 

Bertemakan ‘Inspirasikan Keterangkuman’ dengan tanda pagar #InspireInclusion, sambutan tahun ke-12 ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi, organisasi, institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat swasta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng berkata, sambutan tahun ini akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri TYT Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

 

Sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini adalah untuk mewujudkan cetusan inspirasi keterangkuman gender yang mana PWDC ingin menekankan betapa pentingnya penglibatan semua, wanita dan lelaki, dalam arus pembangunan negeri ini.

 

“Usaha mencapai keterangkuman ini penting dengan mengambil kira setiap keperluan bagi setiap kelompok masyarakat termasuk dalam bajet tahunan (oleh pihak kerajaan), penyediaan kemudahan asas yang bersesuaian dan lain-lain agar tiada yang dipinggirkan.

 

“(Dan) demi mencapai keterangkuman iaitu keseimbangan dan kesaksamaan gender, PWDC menetapkan hala tuju bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya ketika ditemui pada sesi wawancara di pejabatnya di Komtar.

whatsapp image 2024 02 26 at 12.30.40
ONG Bee Leng ketika ditemui di pejabatnya di Komtar.

Menurut Bee Leng, bagi merealisasikan keterangkuman gender sekali gus merapatkan jurang antara wanita dan lelaki dalam pelbagai lapangan, komitmen dan kerjasama semua amat diperlukan.

 

Pulau Pinang harus berbangga dengan pencapaian dalam (usaha memperjuangkan) keterangkuman gender selama ini dan juga kerana menjadi satu-satunya negeri yang mengadakan sambutan Hari Wanita Sedunia selama sebulan.

 

“Pelbagai aktiviti dan program-program menarik diatur membabitkan banyak pihak sepanjang bulan Mac nanti dan terdekat adalah Cabaran Ungu pada 7 Mac 2024 di perkarangan Dewan Tuanku Syed Putra, USM.

 

“Penyertaan terhad kepada 100 kumpulan terawal yang berdaftar melalui laman howei.com yang mana ahli kumpulan yang menyertainya mestilah terdiri daripada wanita dan lelaki dan wang tunai RM1,000 menanti pemenang.

 

“Selain itu, PWDC dengan kerjasama USM juga akan mengadakan sambutan Hari Wanita Sedunia pada 7 Mac ini dengan pengisian bicarawara oleh ahli-ahli panel berpengalaman.

 

“PWDC juga bercadang untuk menyemarakkan ‘ombak’ ungu dengan nyalaan lampu di bangunan-bangunan ikonik di negeri ini seperti Komtar dan Pusat Konvensyen SPICE pada Hari Wanita nanti.

 

“Jadi sempena sambutan Hari Wanita tahun ini, marilah sama-sama kita ‘Semarakkan Ungu, Hargai Wanita’,” katanya yang mahu melihat keterlibatan wanita dalam pelbagai aspek yang lebih meluas pada masa hadapan.

 

Beliau menyeru orang ramai untuk sama-sama meraikan Hari Wanita Sedunia dengan memakai pakaian bertemakan warna sambutan iaitu warna ungu yang melambangkan keadilan dan setia terhadap satu tujuan.

 

Difahamkan, bicarawara yang bakal diadakan nanti menampilkan tiga ikon wanita iaitu Ikon Usahawan yang juga antara pelopor fesyen Muslimah, Mona Din; Dr. S. Malar Santhi, seorang pegawai perubatan yang terkenal dengan segmen ‘Celoteh Dr. Malar’ di media sosial dan Dr. Beth Wei Yin Yam, Felo Jurutera Utama.

whatsapp image 2024 02 26 at 12.32.37  whatsapp image 2024 02 26 at 12.32.37 (1)

Gambar : LAW SUUN TING