Sambutan Maulidur Rasul 1433H disulami elemen peringati Rasullullah S.A.W

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

GEORGE TOWN – Majlis Perhimpunan Ummah yang diadakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1433H Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini bukan sahaja mendapat sambutan meriah, malah, turut disulami dengan elemen-elemen memperingati Rasullullah S.A.W.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim, Majlis Sambutan Maulidur Rasul merupakan salah satu inisiatif dalam membentuk masyarakat Islam agar sentiasa menghayati sirah nabawiyyah sama ada dalam kehidupan bermasyarakat mahupun dalam organisasi.

“Tema sambutan tahun ini “Rasulullah S.A.W Pencetus Perubahan” adalah bersesuaian, sesungguhnya, Rasulullah S.A.W adalah contoh yang patut diteladani oleh semua umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan,” ujar beliau di hadapan kira-kira 2,500 peserta yang turut serta dalam Majlis Perhimpunan Ummah yang diadakan di Dewan Sri Pinang di sini.

Hadir sama, Yang DiPertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Abdul Rahman Abbas serta isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan isteri; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan isteri; Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Yang Arif Datuk Zakaria Sam dan isteri; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, barisan Pengarah Jabatan-jabatan Kerajaan, Imam-iman Negeri, para penjawat pihak berkuasa tempatan dan penjawat-penjawat awam.

Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan pemberian Anugerah Khas kepada tiga individu yang memberi sumbangan cemerlang sama ada kepada negeri mahupun negara iaitu pensyarah Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Abdul Halim Abdul Aziz (Inovasi), 54; Datuk Abdul Rahman Abdul Kadir (Kemasyarakatan), 70 dan Yang Dipertua Yayasan An-Nahdhoh Pulau Pinang, Ustaz Haji Abdul Mutalib Maarof (Keagamaan), 38.

Para penerima masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Manakala, Abdul Wahab Awang Kechik, 63, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1433H. Beliau yang pernah dianugerahkan sebagai Guru Takmir Cemerlang Negeri Pulau Pinang pada 2010 turut aktif menganjurkan bengkel teknik menyemarakkan al-Quran di beberapa agensi kerajaan dan institusi pengajian. Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, sijil penghargaan dan piala iringan.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, umat Islam seharusnya mengamalkan nilai-nilai murni serta mencontohi keperibadian Rasulullah S.A.W dalam menjalani kehidupan seharian.

“Rasulullah S.A.W adalah sebaik-baik insan yang harus dituruti agar kehidupan kita lebih terpandu dengan nur Islam yang syumul. Selagi umat Islam mengamalkan cara hidup Islam selagi itu mereka terpelihara dari segala fitnah dan perasaan hasad dengki. ,” ujar beliau.