Sang Badak gagal benam Harimau Kumbang

SAAT cemas di gawang pasukan pelawat malam ini.

GEORGE TOWN – Perlawanan antara Penang FC dan Sabah FC di Stadium Bandaraya dengan diringi hujan yang agak lebat semasa awal separuh masa pertama pada malam ini rupa-rupanya langsung gagal dimanfaatkan serta memberi kelebihan kepada pasukan pelawat.

Walaupun Sabah FC yang menggunakan maskot Sang Badak begitu menguasai perlawanan, namun tidak mudah juga untuk membendung kelincahan Skuad Harimau Kumbang di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Trucha Tomas.

Pada minit ke-51, gawang pasukan tuan rumah lolos hasil tendangan pemain tengah, Saddil Ramdani dari luar petak penalti.

Pun begitu, kelebihan Sabah FC dengan satu gol itu langsung tidak mematahkan semangat skuad tuan rumah, juga para penyokong dalam kalangan pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

KETUA Menteri serta pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang lain antara penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan antara Penang FC dan Sabah FC di Stadium Bandaraya di sini malam ini.

Penyokong Harimau Kumbang, termasuk Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee serta barisan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain.

Sehinggalah pada minit ke-85, sepakan penjuru Mohamad Amer Azahar berjaya ditanduk oleh penyerang Anselmo Arruda Da Silva ke gawang lawan.

Sehingga habis 5 minit masa tambahan pada separuh masa kedua perlawanan, keputusan terikat seri 1-1.

Keputusan terbaru Liga Super Malaysia tersebut mengekalkan Penang FC pada kedudukan 4 teratas dengan 15 mata, sementara berbanding Sabah FC (tangga ke-10 dengan enam mata).

Lincah dan gagah Sang Badak menguasai perlawanan pun, nampaknya seakan gagal benamkan Harimau Kumbang yang bertaring tajam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD