Saran peniaga dan pekerja terima sekurangnya satu dos bagi kebenaran dine-in

Admin

PADANG KOTA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti makan di dalam premis (dine-in).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mencadangkan supaya semua pekerja termasuk pemilik restoran perlu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin sebelum menawarkan perkhidmatan dine-in bagi keselamatan semua pihak.

“Bagi memastikan keselamatan semua, kita minta supaya SOP bagi aktiviti dine-in ini dikaji semula iaitu pemilik dan pelayan restoran perlu sekurang-kurangnya menerima satu dos suntikan vaksin.

“Bagi pelanggan pula perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu telah menerima dua doa suntikan vaksin,” ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri Padang Kota di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancagan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menggunakan keputusan saringan RTK-Antigen dalam menentukan statistik kes positif COVID-19 bermula minggu ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong berkata, langkah tersebut bakal menyaksikan berlakunya pertambahan jumlah kes positif di negeri ini.

“Sekiranya saringan mendapati positif, maka kes akan dilaporkan sebagai statistik bilangan kes dan tidak perlu lagi menunggu keputusan Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebagaimana lazimnya.

“(Dan) apabila kadar positiviti kurang daripada 10 peratus, maka barulah JKNPP akan kembali menggunakan protokol asal iaitu dengan mengambil kira ujian RT-PCR sebagai statistik bilangan kes,” ulasnya lanjut.

Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 4,309 kes positif dengan kadar positiviti 7.79 peratus hasil daripada sejumlah 55,335 saringan yang dilakukan pada minggu epid ke-30 iaitu dari 25 hingga 31 Julai 2021.

“Bagi minggu epid ke-31 iaitu dari 1 hingga 7 Ogos, sebanyak 5,841 kes positif dikesan hasil daripada 51,947 ujian saringan dijalankan dengan kadar positiviti adalah 11.24 peratus,” jelasnya.

Susulan peningkatan kes yang agak ketara sejak beberapa hari lalu, beliau memaklumkan bahawa JKNPP sedang merancang untuk mewujudkan sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) baharu di negeri ini.

“Ini adalah sebagai langkah kesiapsiagaan untuk menampung kes-kes meningkat beberapa hari ini dan pengumumkan mengenainya akan dibuat tidak lama lagi,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS