Saran tubuhkan pasukan ‘ibu bapa penyayang’, warden lalu lintas di sekolah

Admin

GEORGE TOWN – Sekolah-sekolah di Pulau Pinang disarankan untuk menubuhkan satu pasukan digelar ‘ibu bapa penyayang’ serta mencalonkan warden lalu lintas bagi mengawal kesesakan dan aliran trafik di kawasan sekolah.

 

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soo Siang berkata, saranan itu adalah susulan cadangan yang diterima bagi menambah baik aliran trafik di kawasan sekolah.

TAN Soo Siang.

 

Oleh itu, MBPP ingin menyarankan semua sekolah untuk menubuhkan pasukan ‘ibu bapa penyayang’ ini dan mencalonkan warden lalu lintas sekolah.

 

“Warden lalu lintas sekolah ini akan menerima elaun daripada MBPP serta latihan khusus daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal lalu lintas,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Jalan York pada 5 Ogos 2022.

 

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis seperti Tan Hooi Peng (Connie); Wing Yuee Harng; Mohamad Yusoff Mohamed Noor; Quah Boon Lim dan Rohaizat Hamid.

 

Turut serta, Jurutera Kanan Lalu Lintas & Pengangkutan Awam MBPP, Zainuddin Mohamad Shariff, Pengetua SMJK Union, Tan Siew Lian serta beberapa wakil daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

 

Terdahulu, Soo Siang bersama-sama barisan rakan sejawatannya mengadakan tinjauan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Union bagi melihat pelantar kelajuan yang dibina di sekolah berkenaan.

 

“Berikutan kenderaan yang melalui jalan ini (Jalan York) agak laju kerana faktor jalan yang lurus, maka pihak sekolah bimbang kerana menimbulkan keadaan bahaya kepada para pelajar semasa waktu keluar dan masuk sesi persekolahan.

 

Perkara ini telah dibincangkan oleh Jawatan Kecil Lalu Lintas (Kesesakan Kawasan Sekolah) termasuk pihak Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana jalan ini merupakan jalan utama ambulans ke hospital.

 

“Hasil perbincangan, pihak hospital (HPP) memaklumkan bahawa sekiranya jarak antara pelantar kelajuan terlalu dekat dan tidak mengikut spesifikasi akan menyebabkan gangguan kepada petugas yang memberi bantuan kecemasan kepada pesakit di dalam ambulans.

PELANTAR kelajuan di hadapan SMJK Union dekat Jalan York di sini.

 

“Maka, pelantar kelajuan di Pintu A (SMJK Union) ini ‘dikeluarkan’ dan diganti dengan pelantar kelajuan baharu di Pintu B yang turut mempunyai laluan pejalan kaki,” jelasnya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Lalu Lintas (Kesesakan Kawasan Sekolah).

 

Ditanya mengenai jumlah sekolah yang mempunyai warden lalu lintas, Soo Siang memberitahu bahawa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat 14 sekolah namun kini hanya tinggal dua sahaja iaitu di SMJK (P) China dan SMJK Phor Thay.

 

Sebagai rekod, MBPP menubuhkan Jawatankuasa Kecil Lalu Lintas (Kesesakan Kawasan Sekolah) pada 2012 dalam usaha menyelesaikan masalah lalu lintas di kawasan sekolah. Sejak ditubuhkan, jawatankuasa ini telah melaksanakan beberapa inisiatif antaranya :

 

  • menjadikan jalan di sekitar sekolah sebagai jalan sehala sepenuhnya atau waktu tertentu;

  • membuat pelebaran jalan untuk ruang ibu bapa mengambil dan menurunkan pelajar;

  • membina pelantar kelajuan dan pemasangan papan tanda amaran;

  • menyediakan warden lalu lintas;

  • memasang lampu isyarat pejalan kaki;

  • bekerjasama dengan PDRM dan PIBG.

 

Oleh : AINUL WARDAH BINTI SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI