JKNPP cadang luaskan zon larangan merokok di setiap daerah

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedang merancang untuk menambah zon larangan merokok melibatkan lima daerah di negeri ini.

 

 

Menurut Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Cawangan Inspektorat dan Perundangan JKNPP, Ong Ang Guan, melalui penambahan tersebut, setiap satu bandar atau pekan bagi lima daerah akan dipilih sebagai zon larangan merokok.

 

 

“Kami (JKNPP) kini dalam proses mengenalpasti lokaliti yang sesuai, perkara ini akan diperhalusi dalam masa terdekat.

 

 

“Perkara ini akan dibawa kepada Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin dan berharap beliau akan bawa perkara ini ke mesyuarat Exco,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas taklimat Generational End Game (GEG) dan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Komtar semalam.

 

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Negeri, Datin Dr. Azizah Ab. Manan; Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kawalan Penyakit Tidak berjangkit, Dr. Chiew Whe Lee, selaku moderator serta wakil-wakil jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

 

 

Dalam memperkasakan undang-undang sedia ada pula, Ang Guan memaklumkan Pulau Pinang menjadi negeri ketiga di Malaysia paling banyak mengeluarkan kompaun kesalahan merokok di kawasan larangan.

 

 

Difahamkan melalui RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, individu yang lahir 1 Januari 2007 ke atas tidak lagi dibenarkan menjadi pengguna produk tembakau mahupun rokok elektronik.

 

 

Beberapa penggubalan undang-undang turut diperkasakan melalui RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dalam usaha menamatkan generasi pengguna tembakau dan rokok elektronik di kalangan rakyat Malaysia.

 

Pada sidang media sama, Azizah memaklumkan, kadar peningkatan perokok dan pengguna rokok elektronik di kalangan wanita kini semakin membimbangkan.

 

 

“Jumlah perokok lelaki juga meningkat namun kadar trend peningkatan wanita melalui satu kajian juga menunjukkan satu kebimbangan kita.

 

 

“Mungkin selama ini kita asyik fokuskan kepada lelaki, jadi kita terlepas pandang kepada golongan wanita, jadi lepas ini kita boleh fokus kepada wanita juga,” katanya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR