Sarang tebuan ancam penduduk dimusnah

PENAGA– Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Muda berjaya memusnahkan sarang tebuan berhampiran warung dekat pekan Penaga di sini.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Penaga, Ridwan Osman berkata operasi itu dijalankan atas maklumat dan aduan orang awam yang sering singgah di warung berkenaan.

“Mujur ada pengunjung yang menyedarinya lalu memaklumkan kepada pembantu saya dan laporan terus dibuat pada hari yang sama.

“Tindak pantas ini bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa pengunjung yang lalu-lalang di kawasan tersebut tetapi juga mampu mengelakkan ia membiak kepada koloni tebuan yang baru,” jelas Ridwan.

Rentetan itu, Ridwan mengingatkan orang ramai untuk segera bertindak memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atau memaklumkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di kawasan berkenaan sekiranya menemui sarang-sarang tebuan di atas pokok.

“Sarang tebuan saiz kecil mungkin dapat dimusnahkan menggunakan racun serangga, tetapi kalau besar kita perlu menggunakan api memusnahkannya.

“Terima kasih kepada anggota bomba yang bertindak pantas,” kata Ridwan.

Dalam operasi berkenaan, lima anggota bomba terlibat.