Saringan COVID-19 terhadap pekerja warga asing sektor pembinaan, semua keputusan negatif setakat kini – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Sehingga kini, keseluruhan 13,201 pekerja warga asing di sektor pembinaan di negeri ini telah membuat permohonan untuk melakukan ujian saringan COVID-19, ujar Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Menurut beliau daripada keseluruhan pekerja yang telah disaring, setakat ini keputusan yang keluar iaitu sebanyak 61 peratus di bahagian pulau dan 80 peratus (Seberang Perai) kesemuanya 100 peratus negatif.

“Di Pulau Pinang, kita akan berusaha untuk selesaikan saringan COVID-19 kepada semua pekerja warga asing yang telahpun mendaftar.

“Diharap Pulau Pinang terus mencatatkan keputusan positif, kita bersyukur dengan keputusan memberangsangkan setakat ini.

“Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan isu kesihatan awam dan meneruskan semua SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi sehingga 31 Ogos nanti iaitu hari akhir Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Diharap pada 31 Ogos nanti, kita (Malaysia) benar-benar ‘merdeka’, tetapi sebelum itu semua pihak kena sentiasa terus berwaspada, patuhi SOP dan menjaga kawalan kendiri,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke fasiliti ujian saringan COVID-19 dekat Padang Polo pagi tadi.

Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Dato’ Sr. Rozali Mohamud (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan di kedua-dua Majlis turut hadir sama.

Fasiliti ujian saringan COVID-19 dekat Padang Polo yang diwujudkan sejak sebulan lalu adalah inisiatif khas MBPP dalam membantu mempercepatkan proses saringan ujian COVID-19 ke atas pekerja warga asing di tapak pembinaan.

Dalam perkembangan berasingan berhubung pembukaan sektor-sektor baharu seperti perkhidmatan kedai gunting rambut/salun dan salun kecantikan serta penganjuran pasar malam pada tempoh PKPP, Rozali memaklumkan bahawa beberapa SOP ketat telah dikuatkuasakan.

Jelasnya, bagi perkhidmatan gunting rambut, salun dan salun kecantikan yang dibenarkan beroperasi sejak 10 Jun baru-baru ini, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati hanya sekitar 15 peratus pemilik perkhidmatan berkenaan yang mematuhi SOP ditetapkan.

“Disebabkan ia baru mula beroperasi selama dua hari, mungkin masih tidak faham, pihak kita (MBSP) masih lagi menjalankan pendekatan pendidikan kepada mereka yang berkaitan… tetapi jika selepas tempoh seminggu sekiranya didapati masih ingkar akan SOP yang ditetapkan, kita tidak teragak-agak untuk mengarahkan mereka menutup perkhidmatan masing-masing,” jelasnya sambil memaklumkan antara ketidakpatuhan SOP berkenaan melibatkan tiada penjarakan sosial, tidak mempamerkan harga perkhidmatan kepada pelanggan dan tidak memeriksa suhu badan.

Berbeza di kawasan pentadbiran MBPP, Tung Seang memaklumkan bahawa rata-rata 1,106 kedai gunting rambut, salun dan salun kecantikan di bahagian pulau kesemuanya mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, rata-rata mereka mematuhi SOP yang ditetapkan dan hasil maklum balas yang diterima mereka gembira untuk beroperasi semula dan menghargai peluang yang diberikan dalam tempoh PKPP ini,” ujar Tung Seang.

Dalam pada itu, Tung Seang pada sidang media sama, turut menyeru 4, 623 penjaja berdaftar yang layak menerima bantuan one-off RM500 daripada Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 untuk tampil memberikan maklumat lanjut.

“Majlis menyeru mereka yang termasuk dalam fasa kedua bantuan untuk tampil ke hadapan memberikan maklumat lanjut supaya bantuan ini dapat disalurkan dengan segera sebelum 15 Jun depan,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI