Saringan massa sulung berjaya jejak sembilan individu tanpa gejala – Jagdeep

Admin
(Dari kiri) SR. Rozali Mohamud, Jagdeep Singh Deo dan Ar. Yew Tung Seang dalam sidang media di Komtar pada awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Daripada 340 orang yang menyertai program saringan massa bersasar yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri secara percuma di lokasi sulung dekat Dewan Bandaraya, seramai sembilan individu berjaya dijejaki positif walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala berkaitan.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeeep Singh Deo berkata sembilan individu berkenaan akan melalui proses saringan seterusnya bagi mengesahkan sama ada mereka benar-benar dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.

“Sekurang-kurangnya sembilan (pembawa senyap) berjaya dijejaki…kesemua mereka ini memang tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit.

“Mereka akan melalui proses peringkat kedua dengan menggunakan (RT)-PCR (ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) yang mana keputusan akan kita terima sama ada hari ini ataupun esok,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada pemberita di Komtar pada awal pagi tadi

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai sidang media tersebut.

Menurut Jagdeep, program saringan massa seterusnya akan diadakan di Kompleks Sukan & Rekreasi Sony, Seberang Jaya pada 10 Julai ini dan Dewan Besar Sungai Dua (11 Julai).

Sementara itu, Tung Seang memberitahu bahawa program saringan massa dalam komuniti secara bersasar yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri adalah begitu penting sementara menunggu 80 peratus populasi lengkap menerima dua dos vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Rozali pula menganggap penganjuran program saringan massa pada 10 Julai nanti akan menyasarkan penduduk di kawasan bandar, manakala pada hari berikutnya akan memberi tumpuan kepada populasi kawasan luar bandar.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR