Sasar 20,000 transaksi tanpa tunai di pasar awam menjelang Disember

Admin

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri mensasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 20,000 transaksi jual beli di pasar awam menggunakan kaedah tanpa tunai e-pembayaran menjelang Disember 2020.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa ekoran kejayaan projek perintis berkenaan di Pasar Awam Taman Tun Sardon, Kerajaan Negeri telah menjemput 17 institusi perbankan serta pengeluar wang elektronik bukan bank untuk memigrasikan e-pembayaran di semua pasar awam seluruh Pulau Pinang.

Menurut beliau, 17 institusi tersebut adalah Maybank, CIMB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank, Ambank, Touch n Go Digital, Grab, Boost, Shopee, Razer, WavPay, MCash, KiplePay, GoBiz, iPay88, GHL, Fave dan Paynet.

“Selain sasaran 20,000 transaksi pembayaran, kita (Kerajaan Negeri) juga menyasarkan 90 peratus jumlah keseluruhan 56 pasar awam dan 70 peratus daripada keseluruhan 5,000 peniaga akan menerima pakai penggunaan kaedah e-pembayaran ini.

“Program ini dilaksanakan bertujuan untuk memperluaskan aktiviti ekonomi peniaga melalui platform berteknologi tinggi serta pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat Pulau Pinang.

“Justeru, bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai, institusi perbankan serta pengeluar wang elektronik bukan bank juga telah mengambil inisiatif menawarkan pelbagai insentif kepada para peniaga antaranya pengurangan kadar caj Merchant Discount Rate (MDR), pemberian ganjaran untuk peniaga e-pembayaran, pengecualian yuran pendaftaran, bayaran sewa, deposit, pemasangan dan yuran penyelenggaraan tahunan untuk terminal POS untuk tempoh tertentu dan pelbagai lagi.

“Kita (Kerajaan Negeri) mengucapkan penghargaan kepada penglibatan pihak-pihak berkenaan, dan tidak lupa kepada Bank Negara Malaysia (BNM), WCIT 2020 Sdn. Bhd. dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di atas kerjasama dalam menjayakan Inisiatif Tanpa Tunai di Pasar Awam seluruh Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Inisiatif Tanpa Tunai dekat Pasar Awam Bayan Baru di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Dato’ Abdul Halim Hussain (Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan); Dr. Amar Pritpal Abdullah (Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, DUN); Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan Dato’ Sr. Rozali Mohamud (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP).

Serentak itu, 17 agensi penyedia perkhidmatan kewangan berkaitan dan 14 persatuan-persatuan penjaja pasar awam turut menerima sijil pengiktirafan.

Dalam memastikan pelaksanaan inisiatif tanpa tunai di pasar awam berkenaan berjaya, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 juta bagi melantik 250 promoter dan 32 digital coach bagi tujuan berkenaan.

Tambah beliau, promoter dan digital coach dilantik bakal membantu peniaga, pelanggan dan komuniti agar lebih memahami tatacara penggunaan e-pembayaran serta mendedahkan mereka kepada dunia digital.

“Seramai 250 promoter yang dilantik akan ditempatkan di pasar-pasar awam bagi membantu para peniaga dan orang awam menggunakan aplikasi e-pembayaran ini.

“Promoter-promoter ini akan dibayar RM500 sebulan untuk tempoh enam bulan… pada masa sama, ia juga dapat membantu golongan terkesan yang hilang pekerjaan daripada impak COVID-19 untuk bekerja sementara.

“Manakala, 32 digital coach akan dilantik dengan gaji bulanan RM1,000 (tempoh setahun), dan mereka ini akan bekerja untuk memberikan pendedahan kepada komuniti agar lebih memahami tentang dunia digital pembayaran tanpa tunai,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Terdahulu, Jagdeep dalam ucapannya memberitahu bahawa sejak inisiatif tanpa tunai dimulakan pada April lalu, penggunaan e-pembayaran di pasar awam adalah amat memberangsangkan dengan lebih 2,500 transaksi jual beli bernilai lebih daripada 55,000 telah dibuat pengguna.

“Sukacita saya umumkan kadar migrasi peniaga pada ketika ini telah mencapai 42 peratus daripada keseluruhan 2,341 peniaga di 13 pasar awam bermula Jun lalu.

“Tiga pasar awam paling aktif dalam migrasi e-pembayaran ini ialah pertama Pasar Awam Air Itam sebanyak 68.1 peratus, Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara (64.9 peratus) dan Pasar Awam Bayan Baru (63.2 peratus),” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI