Sasar tingkat produktiviti padi 7 tan sehektar – Exco

Admin
fb img 1758109697034 768x576

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh sektor penanaman padi bagi memastikan kestabilan pendapatan pesawah sekali gus menjadi salah satu tunjang utama sekuriti makanan negeri.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Jabatan Pertanian Malaysia dalam menyalurkan bantuan teknikal serta sokongan sewajarnya.

Ini termasuk usaha untuk meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman yang mana pada tahun ini, musim pertama, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 4.9 tan sehektar dengan sasaran mencapai 7.0 tan sehektar pada tahun 2030 nanti.

“Antara langkah lain adalah pengenalan varieti padi yang bermutu tinggi melalui kerjasama dengan salah sebuah universiti di China, penggunaan benih sah, pembajaan yang seimbang dan amalan agronomi yang baik.

“Selain itu, kawalan rumpai, serangga perosak dan penyakit dilaksana menerusi pendekatan kawalan bersepadu oleh jawatankuasa khas disertai kempen kesedaran kepada pesawah dan pemulihan kawasan pasel (tanah) terbiar seluas 177.24 hektar yang dikenal pasti.

 

“Melalui inisiatif pemodenan pula, penggunaan jentera terkini, sistem pengairan cekap dan aplikasi teknologi digital seperti pertanian pintar juga sedang diperluas dengan kerjasama pelbagai pihak sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan serta dapat mengoptimumkan hasil per hektar.

“Pengukuhan modal insan dengan meningkatkan penglibatan belia dalam sektor pertanian turut difokuskan termasuk menubuhkan koperasi pertanian bagi membolehkan kelompok tani aktif di negeri ini dapat menikmati pendapatan pada skala yang lebih berdaya saing dengan pengurusan input pertanian yang lebih cekap,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Mohd. Sobri Salleh pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 17 November 2025.

Sebagai rekod, Fahmi turut menegaskan bahawa Pulau Pinang masih kekal mencatatkan produktiviti tertinggi per hektar selama tujuh tahun berturut-turut.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT