Sasaran 6 Emas SUKMA XVI Kuala Lumpur

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menetapkan sasaran enam pingat Emas sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVI Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 28 Jun hingga 7 Julai ini.

Mantan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi berkata, sasaran ditetapkan adalah berdasarkan peratusan acara dipertandingkan iaitu selaras dengan pencapaian negeri dalam tempoh empat tahun ini yang bejaya memungut lebih dari 8.4 peratus (minimum) dari jumlah pingat dipertandingkan.

“Sebanyak 20 acara dipertandingkan dan sebanyak 132 pingat Emas, Perak (132) dan Gangsa (204) menjadi rebutan pada temasya kali ini.

“Sasaran kita (Pulau Pinang) adalah sebanyak enam pingat Emas dilihat realistik dengan jumlah acara yang sedikit.

“Kalau boleh capai lebih dari enam (pingat Emas) itu dikira sangat baik. Malah, kita (Pulau Pinang) juga berazam memperbaiki kedudukan tangga ke-6 tahun lalu,” katanya pada majlis SUKMA XVI 100 Days Countdown di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dihadiri para atlet yang bakal mewakili negeri untuk berentap dalam kejohanan berkenaan.

Turut hadir, ahli-ahli keluarga para atlet yang diharap dapat memberi sokongan moral menyeluruh dalam mencapai kejayaan dalam SUKMA XVI.

Tambah Kok Fooi yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, bukan senang untuk bergelar juara, malah, sifat rajin sahaja belum tentu menjamin tempat sebagai juara.

“Anda semua perlu berada di tahap disiplin tertinggi. Sokongan daripada ibu bapa adalah amat penting kerana kata-kata dorongan ahli keluarga mampu mengubah pemikiran seseorang anak muda.

“Pada masa sama, saya juga berharap seluruh rakyat Pulau Pinang akan mendoakan yang terbaik kepada Kontinjen Pulau Pinang,’’ ujar beliau.