Satu lagi projek rumah mampu milik dibangunkan di Seberang Perai Selatan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan usaha sama syarikat Eco Horizon Sdn. Bhd. bakal membangunkan satu lagi projek perumahan mampu milik jenis A dekat Ladang Kalidonia, Seberang Perai Selatan (SPS).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, projek yang menyediakan 272 unit di atas tanah seluas 15.106 ekar milik Perbadanan Ketua Menteri (CMI) itu bakal dibina melalui dua fasa dengan kos bernilai RM50.94 juta dibiayai oleh Eco Horizon Sdn. Bhd..

Menurutnya, projek berkenaan akan menempatkan semula penduduk estet di Ladang Kalidonia, manakala bakinya akan ditawarkan kepada pemohon yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri di bawah kategori rumah mampu milik jenis A bagi membantu rakyat di negeri ini memiliki rumah khususnya golongan berpendapatan rendah.

Contoh rupa bentuk perumahan mampu milik jenis A berkeluasan 650 kaki persegi yang akan dibangunkan dekat Ladang kalidonia, SPS.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri dan Eco Horizon Sdn. Bhd. serta penduduk yang mencapai persetujuan untuk projek rakyat ini.

“Isu ini sudah dibangkitkan banyak tahun dan banyak juga cadangan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri tetapi kerana tidak mencapai persetujuan maka kita terus mencari penyelesaian sehingga formula yang disaksikan hari ini dapat dibentangkan serta dipersetujui.

“Pelan-pelan pembinaan projek ini telahpun mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menyediakan 112 unit rumah bagi Fasa I dan 160 unit (Fasa II),” jelas beliau pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Timbalan Pengurus Besar CMI, S. Barathi; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk S. Rajoo.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menjelaskan bahawa projek tersebut dibina melalui dua fasa memandangkan penduduk masih mendiami tanah-tanah terbabit.

Majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara Kerajaan Negeri dan Eco Horizon Sdn. Bhd. bagi projek perumahan mampu milik yang diadakan sebentar tadi.

“Fasa I bagi projek ini tidak menjejaskan penduduk kerana pemaju akan mula pembinaan di bahagian yang tidak melibatkan penduduk-penduduk sedia ada.

“Apabila siap (Fasa I) yang dijangka siap pada 2022, maka penduduk akan dipindahkan dan barulah kerja-kerja Fasa II akan dimulakan,” ujarnya.

Sebagai rekod, syarikat Eco Horizon Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat Eco World Development Group Berhad yang telah melaksanakan tiga pembangunan di negeri ini iaitu Eco Terrace dekat Paya Terubong, Eco Meadows (Simpang Ampat) dan Eco Horizon (Batu Kawan).

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS