Satu lagi projek tebatan banjir bakal dilaksana di Taman Sejahtera – ADUN

MACHANG BUBOK – Satu lagi projek tebatan banjir bakal dilaksana di Lorong Sejahtera 11 dekat Taman Sejahtera, di sini bagi mengatasi kejadian banjir kilat yang kerap berlaku akibat hujan lebat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon menjelaskan bahawa pihaknya kini dalam proses melantik jururunding bagi menjalankan kajian terperinci mengenai perkara tersebut.

Lee Khai Loon meninjau salah satu projek tebatan banjir yang dilaksanakan tahun lalu dan berjaya mengatasi kejadian banjir kilat di Taman Sejahtera.

“Sebelum ini kita sudah jalankan kerja-kerja ukur aras dan mengambil butiran utiliti yang telah siap pada 21 Disember tahun lepas.

“Sekarang kita masih dalam proses melantik perunding untuk menjalankan kajian dan membuat reka bentuk parit yang mana kos untuk kajian sahaja akan menelan belanja kira-kira RM157,000.

” Tempoh kajian pula dijadualkan bermula Mac ini sehingga Mac 2020 iaitu memakan masa selama satu tahun,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ong Jin Cheng dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Sejahtera, K. Preedeeb.

Dalam pada itu, Khai Loon juga memberitahu bahawa beberapa projek menaik taraf sistem saliran telah siap dilaksanakan tahun lalu yang dilihat berjaya mengatasi masalah banjir kilat dekat Lorong 1 dan Lorong 2 dekat taman berkenaan.

“Tahun lepas kita laksanakan projek menaik taraf saluran keluar kolam takungan Taman Sejahtera dengan kos sebanyak RM12,300 melibatkan kerja-kerja membekal dan memasang sesiku ‘L’ untuk melebarkan laluan keluar aliran air dari kolam takungan ke Jalan Sejahtera.

“Manakala satu lagi projek adalah membekal dan memasang kotak pembetung, longkang saliran ‘U’ serta pintu air di susur jalan (Taman) Sejahtera dengan kos RM21,200 selain kerja-kerja membaiki lantai parit di tepi Jalan Sejahtera 5 dengan kos RM10,000,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD