Sebar luas peranan, bantuan zakat ke pelosok negeri – Ahmad Zakiyuddin

Admin

SERI DELIMA – Sistem zakat dalam Islam berupaya menggalakkan aliran kekayaan dalam ekonomi bagi membantu golongan yang memerlukan, kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

 

 

Menurut Ahmad Zakiyuddin, menerusi sistem tersebut, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui agensinya iaitu Zakat Pulau Pinang (ZPP) dapat merangka satu mekanisme yang sesuai bagi membantu para asnaf memperolehi manfaat daripada limpahan kekayaan yang ada dalam masyarakat.

 

 

“Hasilnya, dalam jangka masa panjang, golongan asnaf ini akan menjadi lebih berdikari dan secara tidak langsung  akan mengurangkan pergantungan mereka terhadap institusi zakat pada masa hadapan.

 

 

“Dalam konteks ini, suka saya berkongsi kisah Saidina Ali yang pernah menasihati gabenornya supaya mengamalkan skim-skim yang berguna bagi mereka yang terlibat dalam perdagangan dan perindustrian serta membantu mereka dengan nasihat yang bijaksana.

“Justeru, saya melihat objektif yang ditetapkan dalam penganjuran bulan zakat peringkat negeri Pulau Pinang adalah menepati saranan Saidina Ali iaitu supaya menyebarluaskan peranan zakat sehingga maklumat mengenai skim-skim agihan zakat sampai ke pelosok negeri Pulau Pinang, malah ke ceruk bandar dan ceruk kampung sekalipun,” ujar Ahmad Zakiyuddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Zakat Pulau Pinang 2021 dekat Masjid Jamek Sungai Gelugor, di sini, semalam.

 

Hadir sama, Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

 

 

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti memaklumkan bahawa melalui pembayaran zakat juga, ia mampu membantu golongan yang terkesan terutama akibat pandemik COVID-19.

 

 

“Golongan terjejas dapat dibantu dengan skim agihan zakat yang berkesan bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka dengan sempurna dan membina kembali sosioekonomi ummah yang mampan dan berdaya saing.

 

 

“Antara program yang menarik perhatian saya ialah Majlis Bantuan Khas COVID-19 kepada Penerima Bantuan ZPP yang berjumlah RM1.9 juta, Majlis Penyerahan Bantuan Dermasiswa Pengajian dan Saguhati Guru Agama, Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir di Yan Kedah dan aktiviti-aktiviti dakwah serta kelimuan zakat yang sangat penting untuk disampaikan kepada umat Islam di Pulau Pinang,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal itu.

 

 

Difahamkan program tersebut berlangsung dari awal November hingga 31 Disember ini.

 

 

Bulan Zakat Pulau Pinang 2021 juga diadakan sebagai kesinambungan hasil kejayaan program sama pada tahun 2019 dan 2020.

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD