Sebarang pandangan akar umbi harus dibincangkan pada peringkat pimpinan negeri, pusat – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Sebarang pandangan yang dibangkitkan oleh akar umbi seharusnya dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan pada peringkat pusat dan bukannya dilontarkan terus kepada pihak media.

Naib Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap soalan wartawan berhubung ‘suara’ pimpinan akar umbi parti berkenaan yang menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundurkan diri sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

 

Dalam PH, isu sedemikian boleh dibangkitkan mengikut kesesuaian dan tuntutan politik semasa, serta lebih elok dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan peringkat pusat memandangkan ia platform terbaik.

 

“Malah, ia juga (bertujuan) supaya ahli dan penyokong PH tidak terkeliru dengan apa-apa juga kenyataan daripada individu,” ujarnya yang turut menyeru supaya pimpinan pada semua peringkat membulatkan tekad menghadapi cabaran politik termasuk pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

 

Ditanya sama ada pandangan yang dilontarkan oleh pimpinan akar umbi tersebut menjejaskan hubungan antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kon Yeow sekali lagi menegaskan bahawa dalam proses demokrasi yang sihat sebarang isu mendesak adalah lebih sesuai dibawa kepada pimpinan negeri atau pusat untuk dibincangkan.

 

“(Pimpinan tertinggi) faham dan selalunya isu pada peringkat akar umbi tidak membayangkan pendirian atau pandangan peringkat negeri.

 

“Misalnya di Pulau Pinang, sejak pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini pada 2008, kita (pimpinan PH Negeri) tidak menimbulkan sebarang isu yang boleh menjejaskan perpaduan dalam kalangan parti termasuk pada peringkat pusat,” katanya.

 

Serentak itu, Kon Yeow yang juga merupakan Pengerusi DAP Pulau Pinang menyatakan bahawa beliau bersikap terbuka untuk menerima dan membincangkan sebarang isu berbangkit yang memerlukan perhatiannya.

 

Saya terbuka dan sememangnya dalam pimpinan negeri, Pengerusi PKR dan Pengerusi Amanah (Parti Amanah Negara) Pulau Pinang sentiasa berhubung untuk membincangkan isu-isu berkaitan.

 

“Dalam semangat perpaduan dan tekad, PH Pulau Pinang siap sedia menghadapi pilihan raya sebagai pasukan yang kukuh bagi mendapat mandat rakyat,” jelas Ahli Parlimen Tanjong itu.

 

Difahamkan, isu gesaan terhadap Anwar timbul susulan keputusan PRN Melaka yang diadakan baru-baru ini tidak memihak kepada PH.