“Sebenarnya keadaan kami 50 – 50”, pendaki Gunung Rinjani kongsi pengalaman saat gempa bumi

GEORGE TOWN – Watawa Nataf Zulkifli, 32, merupakan salah seorang daripada rakyat Malaysia yang terperangkap dalam kejadian gempa bumi Gunung Rinjani, Indonesia pada 29 Julai 2018 kira-kira 6.45 pagi waktu tempatan.

“Saya ada mengemaskini Facebook bahawa kami selamat, tujuannya supaya tidak melahirkan rasa bimbang dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan.

“Tapi, sebenarnya keadaan kami 50 – 50,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus di Komtar pada petang 1 Ogos 2018.

Watawa merupakan Penolong Pagawai Penerangan, Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri.

Darwina Mohd. Daud, 27, adalah juru foto dan rakan sepejabat kepada Watawa Nataf.

Munurut Watawa Nataf, lima rakyat Malaysia antara lebih 400 peserta yang mendaki gunung itu, pada 26 Julai 2018.

Bercakap selepas itu, Kon Yeow melahirkan rasa syukur kerana kedua-dua kakitangan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Bayan Lepas pada 31 Julai 2018 kira-kira jam 5.30 petang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Komunikasi di Bahagian Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Yap Lee Ying yang bertungkus-lumus menjejaki kedua-dua kakitangan Kerajaan Negeri berkenaan, dengan menghubungi Wisma Putra, Kedutaaan Malaysia di Indonesia serta pendaki kanan warganegara Indonesia selepas kejadian gempa bumi di Gunung Rinjani.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : LAW SUUN TING