Seberang Perai capai sasaran bandar raya rendah karbon

SEBERANG JAYA – Seberang Perai berjaya mencapai status bandar raya rendah karbon apabila mencatatkan pengurangan kadar pelepasan karbon sebanyak 55.86 peratus pada tahun ini iaitu melebihi sasaran peringkat kebangsaan.

Ketika mengumumkan perkara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa pencapaian tersebut merupakan yang terbaik berbanding dengan bandar-bandar lain di negara ini.

Lebih manis lagi katanya, apabila kejayaan tersebut dicapai setahun lebih awal daripada sasaran asal iaitu pengurangan pelepasan karbon sebanyak 50 peratus pada tahun 2022.

Jagdeep Singh Deo ketika berucap pada majlis pengisytiharan Seberang Perai sebagai bandar raya rendah karbon dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

“Negara kita menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 dan berjaya mencapai 30 peratus sahaja.

“Namun begitu, kita (Pulau Pinang) mempunyai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berjaya mencatatkan rekod tertinggi iaitu sebanyak 55.86 peratus kadar pengurangan pelepasan karbon.

“Ini merupakan agenda utama kita yang merupakan sebahagian daripada Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau, pintar dan berfokuskan keluarga yang menginspirasikan seluruh negara.

“Justeru, saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Bandar dan Ahli-Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang sentiasa bertungkus-lumus dalam menjayakan agenda ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Pengisytiharan Seberang Perai Sebagai Bandaraya Rendah Karbon dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai MBSP.

Dalam sidang media selepas itu, Jagdeep menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merealisasikan visi untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri sifar karbon menjelang 2050.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak akan berhenti di sini sahaja, sebaliknya kita akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif sehingga sasaran yang ditetapkan tercapai.

“Salah satu contoh usaha yang telah kita laksanakan adalah penanaman pokok yang mana setakat ini sebanyak 470,000 pokok berjaya  ditanam berbanding sasaran awal iaitu 50,000 batang pokok.

“(Dan) semalam saya telah mengumumkan sasaran baru iaitu kita akan menanam sebanyak 600,000 pokok menjelang 2030,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sr. Rozali Mohamud menyifatkan kejayaan Seberang Perai menjadi bandar raya rendah karbon adalah hasil kerjasama semua pihak.

Sementara itu, Rozali memberitahu bahawa Bandaraya Seberang Perai mencapai kadar pelepasan karbon dioksida (Co2) per kapita sebanyak 5.39 tan yang mana ia lebih rendah berbanding tahap dunia iaitu 5.47 tan.

“Dari tahun 2016 hingga 2021, sebanyak 18.8 juta tan pelepasan karbon telah dikurangkan dan ini merupakan yang terbanyak dapat kita hasilkan.

“Paling penting adalah kiraan-kiraan ini telah mendapat pengesahan daripada Carbon Disclosure Project (CDP) oleh Local Governments for Sustainability atau ICLEI iaitu sebuah pertubuhan di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, Seberang Perai juga disenaraikan sebagai salah satu A-List City selama tiga tahun berturut-turut, dan menjadi antara 10 bandar raya terbaik dunia yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan pelepasan karbon,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa kejayaan tersebut mampu dicapai dengan kerjasama jitu seluruh warga Seberang Perai dengan dibantu oleh tindakan yang realistik dan inklusif.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada peningkatan kadar kitar semula yang mencecah 60 peratus dan pengurangan penjanaan sisa sebanyak 10.6 peratus pada tahun 2021.

“Selain itu, penjanaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) adalah sebanyak sembilan peratus daripada penggunaan tenaga di Seberang Perai dan merupakan yang tertinggi di negara ini.

“Malah, MBSP juga berjaya menanam pokok melebihi 100,000 batang sejak tahun 2018 selain pelaksanaan pembangunan yang berbentuk Transit Oriented Development di Seberang Perai,” ulasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBSP