Seberang Perai destinasi eko-pelancongan, simbol komitmen KN

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Seberang Perai seperti kawasan hutan paya laut Kuala Bekah dekat Penaga sangat berpotensi dijadikan salah satu destinasi ekopelancongan di rantau ini kerana dikunjung kira-kira 100 spesies burung hijrah (migratory bird) selama enam bulan tiap-tiap tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berharap Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya terus meneroka serta membangunkan potensi sektor ekopelancongan di ketiga-tiga daerah Seberang Perai, biar seiringan dengan kedudukan George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Jika Bandaraya George Town dikenali dengan berbagai-bagai warisan tak ketara dan lebih penting adalah warisan ketara seperti monumen dan bangunan-bangunan tinggalan sejarah era kolonialisme, kita (Kerajaan Negeri) harap Seberang Perai suatu hari nanti dikenali sebagai destinasi ekopelancongan paling menarik, khususnya bagi pencinta burung hijrah.

“Ini merupakan satu lagi simbol komitmen Kerajaan Negeri hari ini untuk pembangunan masa depan Seberang Perai seiringan dengan pulau (Bandaraya George Town), iaitu sesuatu yang tidak dilakukan oleh Kerajaan Negeri atau Pusat sebelum ini (sebelum tahun 2008),” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Harun Pilus (Pengarah Tourism Malaysia Pulau Pinang), Tan Coo Eng (Pengarah Malaysia Nature Society, Cawangan Pulau Pinang) dan Dr. Foong Swee Yeok (Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Universiti Sains Malaysia) turut sertai Forum Potensi EkoPelancongan Seberang Perai tersebut.

Selain di Kuala Bekah, New Recreation Park Byram Estate dekat Seberang Perai Selatan (SPS) serta Hutan Pelajaran Air Itam Dalam dekat Lahar Yooi, Teluk Air Tawar dan Pantai Kuala Muda juga adalah destinasi ekopelancongan yang seringkali dikunjungi pelancong asing dan tempatan.

“Kawasan-kawasan ini juga menjadi destinasi persinggahan untuk beriburibu ekor burung yang terdiri dari beratus-ratus spesies pada setiap tahun.

“Pemerhati burung dari Jepun dan Korea juga sering melawat tempattempat ini untuk aktiviti memerhati burung,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Guan Eng memberitahu, hasrat Kerajaan Negeri membangunkan industri eko-pelancongan bukan sahaja selari dengan hasrat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), malah sekaligus memulihara semula kemampanan flora dan fauna di negeri ini.

Jelasnya, pada tahun 2013, difahamkan, PBB antaranya meluluskan satu resolusi yang mengiktiraf peranan sektor eko-pelancongan dalam membasmi kemiskinan setempat serta memelihara alam sekitar.

Bercakap di pentas sama, Maimunah memberitahu bahawa MPSP sehingga kini telah menerbitkan peta pelancong, heritage trail dan coffee table book demi menonjolkan potensi Seberang Perai sebagai bandar pelancongan masa depan untuk Pulau Pinang.

“Dalam terbitan-terbitan komersial itu, dimuatkan 10 kawasan sekitar Seberang Perai Utara (SPU) yang mempunyai potensi eko-pelancongan, iaitu di Pantai Bagan Ajam, Pantai Molek (lebih dikenali sebagai Pantai Robina, Taman Rekreasi Teluk Air Tawar, Pantai Bersih, Kuala Bekah, Kuala Penaga, Sungai Muda Sanctuary Park, Taman Rekreasi Pantai Kamloon, Bertam Vision Park serta Pusat Rekreasi Hutan Pelajaran Air Itam Dalam,” kata beliau.

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, pihaknya turut mengkaji potensi Pulau Aman dekat Seberang Perai Tengah (SPT) untuk diwajahkan semula sebagai destinasi ekopelancongan negeri.