Seberang Perai harapan P. Pinang – Kon Yeow

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) meraikan 53 pesara pelbagai kategori tahun 2014 serta 149 kakitangan penerima anugerah perkhidmatan cemerlang bagi tahun lalu (2013) dalam satu majlis bersama di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow mengulangi sekali lagi hasrat Kerajaan Negeri mahu melihat Seberang Perai sebagai masa depan negeri ini, iaitu harapan yang pernah diucapkan pada majlis istiadat pelantikan dan upacara mengangkat sumpah Ahli-Ahli Majlis MPSP Tahun 2014, sebelum ini.

Justeru, katanya, majlis anugerah seumpama ini tentunya sangat signifikan bagi menghargai rekod sumbangan perkhidmatan MPSP yang dianggap cemerlang dalam lebih tiga tahun belakangan ini.

“Saya suka kata Seberang Perai adalah masa depan Pulau Pinang memandangkan banyak usaha dilakukan oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan MPSP… Seberang Perai akan terus menjadi harapan Pulau Pinang.

“Saya yakin Majlis (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Pesara) ini akan menjadi penyubur semangat, agar MPSP terus (dilihat) menjadi peneraju perubahan,” ujarnya di Kompleks Sukan MPSP di sini. Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd.Sharif turut berucap pada majlis tahunan tersebut, yang juga disertai oleh Setiausahanya, Sr. Rozali Mohamud.

Hampir semua Ahli Majlis MPSP hadir pada majlis keraian tahunan tersebut.

Menurut Maimunah, MPSP mensasarkan langkah pengambilalihan keseluruhan operasi pembersihan di ketiga-tiga daerah mulai Julai depan, walaupun Kerajaan Negeri tidak menetapkan tempoh khusus untuk pelaksanaan prestasi itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebanyak 74 kontraktor sedia ada masih melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Kita mensasarkan pada bulan Julai ini, pengambilan 100 peratus operasi pembersihan di Seberang Perai,” ujar Maimunah.

Untuk itu, katanya, MPSP akan mengambil kira-kira 800 kakitangan pada pertengahan bulan April ini, selain, tambahan 300 orang (kakitangan) lagi nanti, menjadikan jumlah keseluruhan sebelum hujung tahun ini berjumlah 2,469 orang. MPSP mempunyai 1,330 kakitangan, sekarang.

Dalam pada itu, waris salah seorang penerima, Nasriah Ali @ Ramli, 48, melahirkan rasa terharu kerana suaminya, Aziz Ariffin, 58, yang meninggal dunia dalam perkhidmatan pada 3 Disember tahun lepas turut diraikan pada majlis penghargaan pesarakan kali ini.

“Rasa gembira pun ada, rasa sedih pun ada. Dulu, Allahyarham suami dalam tempoh perjawatannya selama 33 tahun dengan MPSP, beliau pernah mendapat anugerah cemerlang. Hari ini, beliau dihargai sebagai pesara sebab kematian,” ujar balu berkenaan.

Nada sama turut diluahkan pesara wajib, T. Kaliappan, 60, yang pernah berkhidmat dalam Jabatan Perbandaran selama 33 tahun.

“Gembiralah bekerja dalam majlis sebab macam keluarga, memang banyak kenangan. Tetapi, apa boleh buat sebab umur sudah cukup (60 tahun).

“Sayanglah mahu tinggal kerja, kawan-kawan. Kalau ada peluang, memang mahu balik (berkhidmat dengan MPSP),” ujar Kaliappan.