Seberang Perai jadi tumpuan pakar pokok dunia September depan, INTAC 2026 sasar 200 penyertaan

Admin
img 6121 JASON H’ng Mooi Lye (duduk, lima dari kiri), Datuk Bandar MBSP (duduk, empat dari kiri) dan barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dalam sidang media mempromosi Persidangan Arborikultur Tropika Antarabangsa (INTAC), di Menara Bandaraya dekat Seberang Jaya menjelang tengah hari tadi.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bersama-sama Persatuan Arboris Malaysia (PArM) akan menganjurkan Persidangan Arborikultur Tropika Antarabangsa (INTAC) pada 22 dan 23 September 2026 di The Light Hotel, Seberang Jaya.

Persidangan yang julung kali dianjurkan di Utara Semenanjung Malaysia itu menyasarkan penyertaan 150 hingga 200 perwakilan daripada kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi negeri, universiti, kolej, penyelidik, syarikat berkaitan landskap, pengamal arborikultur serta peserta antarabangsa seperti dari Thailand, Singapura dan Indonesia.

img 6117
JASON H’ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata persidangan yang membawa tema Memacu Arborikultur Tropika Ke Arah Bandar Lestari itu akan memberi tumpuan kepada pengurusan pokok bandar, perhutanan bandar, keselamatan awam, daya tahan iklim serta pembangunan bandar mampan.

“INTAC 2026 Seberang Perai juga bakal menampilkan penceramah tempatan dan antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Itali, Jepun, Indonesia, Singapura dan Hong Kong.

“Perkongsian kepakaran ini diharap dapat memperkukuh amalan terbaik dalam pengurusan pokok bandar dan lanskap tropika secara lebih profesional, selamat dan mampan,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid di Menara Bandarya di sini pada 1 Julai 2026.

Turut serta, barisan Ahli Majlis bagi PBT berkenaan.

img 6118
DATUK Bandar MBSP

Difahamkan, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Arboris Antarabangsa (ISA), Caitlyn Pollihan; Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad; Pengerusi Persatuan Arboris Indonesia, Prof. Dr. Ir. Iskandar Zulkarnaen; ahli akademik Universiti of Florence, Prof. Dr. Francesco Ferrini; Pengarah, Perunding Arboris & Pakar Memanjat di Kansod Arbor Tree Consultancy & Services Limited, Samuel Ma; Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Khariza Abd. Khalid; ahli akademik Universiti Waseda, Prof. Dr. Shinjiro Umezu; Pengarah (Streetscape) National Parks Board, Chan Chung Leong; dan wakil Sime Darby Property, Ahmad Yusri Mat Yusoff antara pakar yang akan mengisi pentas persidangan antarabangsa itu nanti.

Tempoh pendaftaran penyertaan dilanjutkan sehingga 31 Julai 2026 menerusi https://www.parm.com.my/intac2026-parm.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB