Seberang Perai, masa depan Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin

KUALA LUMPUR – Dengan kelengkapan jaringan sistem jalan raya yang lebih teratur dan lengkap, Seberang Perai berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan dan merupakan masa depan bagi negeri Pulau Pinang, ulas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata bahawa pentadbiran yang diterajuinya sejak 2018 memfokuskan kepada pembangunan seimbang di antara kawasan pulau dan juga Seberang Perai.

“Dua tahun lalu, saya telah mengingatkan bahawa masa depan Pulau Pinang sebenarnya terletak di Seberang Perai, jika dahulu bahagian pulau merupakan tumpuan pembangunan kerajaan terdahulu, tetapi kini kita (Kerajaan Negeri) memfokuskan kepada pembangunan yang seimbang di antara pulau dan Seberang Perai.

“Jika dilihat, Seberang Perai sebenarnya lebih strategik serta berpotensi untuk dibangunkan, ia dihubungkan dengan dua jambatan utama serta perkhidmatan feri.

“Malah, jaringan jalan dan lebuh rayanya lebih menyeluruh serta saling menghubungkan seperti Lebuhraya Utara Selatan, Butterworth-Kulim Expressway, jalan-jalan Persekutuan serta negeri,” ujarnya pada sesi bual bicara langsung ‘Penang In 10 Years Time’ yang dihoskan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menerusi Facebook Live di sini semalam.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menjelaskan bahawa bandar metropolitan Batu Kawan yang merupakan pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri di kawasan Seberang Perai kini giat dibangunkan.

“Batu Kawan merupakan salah satu kawasan katalis pertumbuhan pesat di Seberang Perai, dan sememangnya kebanyakan industri tertumpu di kawasan ini, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) juga bersedia untuk memajukan daerah lain sebagai kawasan perindustrian seterusnya.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha keras untuk memastikan Seberang Perai menjadi pemangkin pertumbuhan untuk masa depan, dengan itu saya sentiasa mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mempunyai lebih banyak sumber bagi mengembangkan bandar Seberang Perai,” jelasnya.

Bual bicara yang berlangsung selama sejam tersebut turut menyentuh hala tuju Kerajaan Negeri sehingga tahun 2030 melalui Visi Penang2030, projek-projek berimpak besar serta pendekatan Kerajaan Negeri menangani isu pandemik penularan wabak COVID-19.

Antara isu utama yang turut menjadi topik bicara adalah pembatalan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM100 juta bagi membangunkan sistem kereta kabel Bukit Bendera baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai isu tersebut, Kon Yeow dalam responsnya berkata bahawa secara dasarnya Kerajaan Negeri telah membuat persediaan bagi melantik perunding untuk melakukan kajian.

“Tetapi memandangkan pembatalan tersebut, kita (Kerajaan Negeri) perlu mempertimbangkan semula untuk meneruskan pelaksanaan tersebut ataupun tidak, atau sekurang-kurangnya meneruskan kajian mengenai jajaran serta kebolehlaksanaan projek,” ujarnya.

Difahamkan bahawa penarikan balik peruntukan tersebut adalah disebabkan oleh situasi semasa ekonomi negara dan projek berkenaan yang dikategorikan sebagai bukan projek penting.

Menurut Kon Yeow, sejurus pengumuman tersebut, Perbadanan Bukit Bendera juga ada menerima pertanyaan sama ada Kerajaan Negeri berminat melaksanakan projek tersebut melalui inisiatif kewangan swasta.

“Kita terbuka mengenai idea ini, mungkin selepas semua kajian yang perlu telah dilaksanakan… mungkin juga Kerajaan Negeri bakal melaksanakannya melalui Pembiayaan Inisiatif Swasta (PFI),” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Video dan Gambar : ALVIE CHENG