Seberang Perai sebagai hab pembangunan masa depan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BUKIT TAMBUN – Projek Jambatan dan Jalan Ke Valdor Menyeberangi Sungai Tengah Serta Sambungan Jalan Sedia Ada, Batu Kawan yang bernilai RM22.13 juta kini sudah 41 peratus siap.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada majlis lawatan tapak projek di sini baru-baru ini.

“Projek jalan dan jambatan sepanjang 1.2 kilometer (km) ini dilihat penting untuk pembangunan di sini… saya yakin Batu Kawan akan menjadi tempat menarik untuk operasi perkilangan, pertumbuhan ekonomi, selain meningkatkan sektor perniagaan dekat sekitar Batu Kawan, Bukit Tambun, Valdor di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa, untuk membangunkan kawasan Seberang Perai sebagai hab pembangunan masa depan Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan terus memainkan peranan utamanya menyediakan kemudahan dan infrastruktur terutamanya di kawasan pembangunan Batu Kawan, Bukit Minyak dan sekitar Seberang Perai dalam mewujudkan
keseimbangan pembangunan antara pulau dan Seberang Perai.

“Lebih utama, ianya mampu mengurangkan masa perjalanan dari Jawi dan Valdor ke Batu Kawan dan ianya bebas tol,” katanya yang juga Pengerusi PDC pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-ahli Majlis bagi MPSP dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Tambah Guan Eng, terdapat empat projek infrastruktur lain milik PDC di kawasan Seberang Perai yang turut dilihat menerajui
pertumbuhan dan pembangunan di SPS bernilai RM91 juta seperti pembinaan jalan raya berharga RM7.8 juta menghubungkan
Penang Science Park dan Juru; pembinaan jambatan baharu di Sungai Kerian, Nibong Tebal yang menghubungkan Taman Victoria
dengan Tanjung Berembang dengan kos RM25.8 juta; menaik taraf Jalan Bukit Tambun dari dua lorong ke enam lorong dengan kos RM23.9 juta dan pelebaran jambatan sedia ada di Batu Kawan dari dua lorong (11 meter lebar) hingga enam lorong (40 meter) dengan Kos RM33.5 juta.

“Projek jambatan dan jalan raya yang sedang dibina adalah tepat pada masanya kerana Bandar Cassia Batu Kawan sedang
berkembang pesat, dengan kehadiran Penang Design Village yang bernilai RM250 juta, Universiti Kolej KDU dengan pelaburan sebanyak RM220 juta dan IKEA Store dengan pelaburan RM600 juta yang dijangka akan dibuka pada tahun 2019,” jelasnya yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, projek tanggungjawab korporat sosial (CSR) PDC melalui tender terbuka bermula 18 Januari 2016 dijangka siap pada 21 Februari 2019.