Seberang Perai Utara sebagai hab agro pelancongan berpotensi tinggi wilayah utara, cadang Timbalan Menteri MOA

Admin

PERMATANG BERANGAN – Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani (MOA), Sim Tze Tzin mencadangkan agar kawasan Seberang Perai Utara (SPU) dijadikan sebagai hab agro pelancongan berpotensi tinggi bagi wilayah utara.

Cadangan itu diutarakan beliau semasa mengadakan lawatan kerja ke pusat Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, pagi ini.

Menurutnya, SPU berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan agro pelancongan memandangkan kawasan itu mempunyai tanah pertanian yang luas termasuk aktiviti penternakan yang menjadi pusat pembekalan makanan utama kepada negara.

“Saya mempunyai impian supaya kawasan SPU ini dijadikan pusat atau hab utama agro pelancongan untuk wilayah utara yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk seramai 5 hingga 6 juta orang.

“Di samping mengekalkan kawasan ini sebagai pusat membekalkan makanan utama, perlu ada elemen baru untuk meningkatkan pendapatan para petani, penternak mahupun pekebun di sini iaitu dengan mewujudkan aktiviti agro pelancongan.

“Oleh sebab itu, jika ibu bapa sanggup membawa anak-anak mereka ke sini, maka kawasan ini boleh dihidupkan sebagai kawasan agro pelancongan,” ujarnya sambil mengambil contoh pelaksanaan agro pelancongan di Sekinchan, Selangor yang disifatkan beliau sebagai sangat berjaya.

Hadir sama pada lawatan itu ialah Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Rozaidi Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Yeo Keng Chuan; wakil agensi berkaitan pertanian daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan, para petani dan ramai lagi.

Mengulas lanjut, Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, kerajaan juga berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak pusat TKPM di negeri ini kerana mempunyai kemudahan teknologi yang baik untuk membangunkan industri pertanian.

“Sebab di mana-mana dunia termasuk negara yang paling maju dari segi teknologi dan perindustrian mereka juga maju dari segi pertanian seperti mana Jepun dan Amerika Syarikat.

“Jadi dari segi pertanian kita bukan sahaja menjadi negeri pengeluaran hasil pertanian tetapi kita (Pulau Pinang) juga harus menjadi pusat pengeluaran benih yang berjaya,” jelasnya.

Sementara itu, Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang turut hadir pada lawatan berkaitan menyifatkan TKPM Ara Kuda sebagai yang paling berjaya di negara ini kerana berjaya memperoleh penarafan lima bintang.

“Walaupun Pulau Pinang merupakan negeri yang agak kecil dan mempunyai banyak isu berkaitan tanah tapi saya percaya dengan adanya teknologi baru dan kerjasama baik antara usahawan tani dengan jabatan pertanian serta agensi-agensi yang ada, kita mampu menghasilkan produk dengan kuantiti dan kualiti yang tinggi seperti penghasilan padi,” kata ADUN Seberang Jaya itu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS