Sedia pikul jawatan Ketua Menteri penggal kedua – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sedia memikul semula jawatan disandang beliau kini sekiranya masih diberikan kepercayaan.

 

Menurutnya, kini beliau hampir melengkapkan tempoh satu penggal sebagai Ketua Menteri iaitu kurang daripada setahun.

 

“Begitu cepat saya jadi Ketua Menteri, masuk tahun kelima, kurang setahun lagi perlu adakan PRU (Pilihan Raya Umum) seterusnya.

 

“Saya pun tidak pasti akan jadi Ketua Menteri atau tidak, tetapi dengan sokongan dan kepercayaan, saya sedia memikul amanat berkenaan,” ujar Kon Yeow pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri The Rise 2 anjuran bersama Badan Gabungan Penduduk (JMB) The Rise 2 dan Ahli Jawatankuasa Surau Al-Wardah dekat Jalan S.P. Chelliah di sini tadi.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengerusi JMB The Rise 2, Loh Heng Ree dan Pengerusi Surau Al-Wardah, Mohamed Yasin Misowagani.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan RM12,000 kepada Mohamed Yasin untuk kegunaan Surau Al-Wardah.

 

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan senantiasa bersama-sama penduduk sama ada dalam kesulitan serta juga cabaran mengenai isu berbangkit membabitkan kualiti kerja di projek tersebut.

 

“Sebelum ini, berbangkit pelbagai isu dan saudara Teh (Lai Heng) telah laporkan kepada saya dan PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang), juru perunding untuk pastikan masalah-masalah berbangkit dapat diperbaiki,” jelasnya.

 

Kesempatan sama, Kon Yeow turut beramah mesra bersama-sama penduduk-penduduk setempat.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : ALISSALA THIAN