Sediakan kediaman mampu milik, selesa untuk rakyat

Admin

DATOK KERAMAT – Menyediakan kediaman yang mampu milik dan kondusif untuk pelbagai kategori kepada rakyat di negeri ini kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri komited menyediakan 220,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2030 sejajar dengan inisiatif di bawah Visi Penang2030 iaitu menangani isu kemampuan dan kepelbagaian perumahan di Pulau Pinang.

 

“Selain menyediakan rumah mampu milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga sejak 2008 lagi amat menitikberatkan aspek penyelenggaraan skim-skim perumahan di negeri ini.

 

Sejak tahun 2008 sehingga 25 Januari 2022, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM290.55 juta bagi melaksanakan projek-projek penyelenggaraan. 

 

“Jumlah tersebut melibatkan 297 permohonan merangkumi 497 kerja-kerja selenggara di skim perumahan awam, skim perumahan swasta dan skim perumahan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Pangsapuri Sri Tanjung dekat sini pagi ini.

JAGDEEP Singh Deo (kanan) turut mengenakan busana tradisional masyarakat CIna bagi meraikan komuniti di Pangsapuri Sri Tanjung sempena Tahun Baru Cina.

 

 

Mengulas mengenai komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat Pulau Pinang memiliki kediaman yang selesa dan selamat, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat berharap Kerajaan Persekutuan turut memainkan peranannya dalam menyediakan perumahan yang mencukupi dan mampu dimiliki oleh golongan sasaran.

 

 

 

Saya berharap Kerajaan Persekutuan turut membantu terutama dalam penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang dan bukan sekadar menyatakan komitmen tetapi dari segi penyampaian tiada.

 

“Begitu juga isu penyelenggaraan yang mana Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah mengemukakan permohonan sebanyak RM134.76 juta bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan di skim perumahan awam dan swasta tahun ini,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas penyaluran peruntukan melalui Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) pada tahun 2020 dan 2021.

PANGSAPURI Sri Tanjung yang terletak di Jalan Perak dekat sini.

 

Terdahulu, Jagdeep hadir meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama komuniti di Pangsapuri Sri Tanjung serta menyerahkan sumbangan berupa bakul makanan sebanyak 200 set kepada mereka yang terpilih. 

 

Malah, beliau turut menyalurkan RM5,000 sempena sambutan Tahun Baru Cina dan menyampaikan berita gembira berhubung permohonan menaik taraf lif daripada Perbadanan Pengurusan pangsapuri terbabit.

 

Sebelum ini, di bawah Tabung Penyelenggaraan 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP), sebanyak tiga projek bernilai RM200,380 telah disiapkan termasuk kerja-kerja menurap jalan, penukaran tangki air dan sistem perpaipan serta mengecat bangunan pangsapuri berkenaan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN