Segera daftar ‘insurans’ PEKA mulai 1 Januari 2019 – Menteri Kewangan

BAGAN JERMAL – Mereka yang berusia 50 tahun ke atas serta daripada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) boleh segera mendaftar Skim Pelindungan Kesihanan (PEKA) secara atas talian mulai 1 Januari tahun depan (2019).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu bahawa projek perintis PEKA tersebut seakan masih kurang mendapat perhatian rakyat, sungguhpun skim ‘insurans’ itu telah diumumkan ketika perbentangan Belanjawan 2019 Pusat di Dewan Rakyat pada 2 November lalu.

“Kita semua maklum bahawa apabila orang miskin sakit, mereka tak ada sumber pendapatan, dan biasanya mereka tak ada kemampuan untuk membeli insurans perubatan.

“Tentulah Kerajaan Persekutuan nak memberikan suatu insentif, untuk bantu mereka (memiliki) insurans perubatan.

“Agensi pelaksana (PEKA) adalah Bank Negara Malaysia… buatlah permohonan secara online,” serunya yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada pemberita, selepas program lawatan kerja projek penarafan di sekolah rendah tersebut di sini pada 24 November 2018.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee yang juga Exco Belia dan Sukan; Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Puyu); M. Satess (ADUN Bagan Dalam) turut sertai lawatan kerja Menteri Kewangan tersebut.

Difahamkan, Belanjawan 2019 Pusat memperuntukkan RM100 juta untuk menjayakan projek perintis pelaksanaan saringan kesihatan, dengan melibatkan 800,000 penerima PEKA.

Guan Eng menyatakan bahawa penerima PEKA layak memperoleh insentif RM50 sehari untuk maksimum 14 hari bagi mendapatkan rawatan ataupun RM700 setahun.

“(PEKA) ini akan diberikan secara percuma, tak perlu beli insurans perubatan.

“Mereka (penerima PEKA) perlu buktikan mereka masuk wad, dan penyakit mereka (yang dirawat) termasuk dalam senarai 36 penyakit kritikal… macam beli insurans biasa yang dibeli, ada (polisi pelindung) untuk 36 penyakit kritikal.

“Sebelum ini, saya umumkan ada empay penyakit kritikal, tapi selepas berunding dengan syarikat insurans, mereka bersedia untuk perluaskan kepada 36 penyakit kritikal.

“Kerajaan Pakatan (Harapan) memang berjiwa rakyat, membantu golongan B40,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB