Segerakan Fasa 2B MDEP Empangan Mengkuang – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Bangunan PDC di sini pada 16 Mei 2023.

BAYAN LEPAS – Sekiranya kesemua fasa pembangunan berkaitan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) telah siap seperti dirancang peringkat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), ‘empangan strategik negeri’ itu mungkin boleh menyalurkan kembali sumber air mentah sehingga 1 Juta Liter Sehari (JLH) bagi memenuhi keperluan pengoperasian luar jangka maksimum di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta tidak menjejaskan kira-kira 400,000 akaun pengguna di negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Namun, sehingga kini terdapat empat komponen projek berkaitan MDEP masih tertangguh antaranya, Fasa 2B iaitu Pemasangan saluran paip keluli lembut berdiameter 1.6 meter (m) sepanjang 7 kilometer (km) dari Rumah Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua Canal untuk menaik taraf kapasiti penyaluran air mentah daripada 300 MLD kepada 600 MLD.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kementerian berwajib sepatutnya menyegerakan pelaksanaan Fasa 2B MDEP untuk membolehkan penyaluran lebih banyak air mentah dari Empangan Mengkuang ke LRA Sungai Dua semasa musim kemarau atau paras air Sungai Muda susut secara mendadak.

“Walaupun air di Empangan Mengkuang begitu banyak kira-kira 84,000 MLD disimpan di sana… (tetapi) paip yang telah dibina hingga kini cuma boleh melepaskan kembali air ke Sungai Muda terhad pada 300 MLD sahaja.

“Betullah kalau 300 MLD dilepaskan dari Empangan Mengkuang, daya tahan empangan itu adalah sehingga 70 hari, tetapi LRA Sungai Dua memerlukan 1,000 MLD (untuk mengelak gangguan pengoperasian tiap-tiap hari).

“Disebabkan itu, kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP) mahu pemasangan paip dengan kapasiti sehingga 1,000 MLD, barulah Empangan Mengkuang ini boleh berfungsi sepenuhnya semasa musim kemarau atau ketika krisis sumber air mentah di Sungai Dua telah berlaku seperti baru-baru ini (14 Mei 2023).

“Kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP) minta mereka menyegerakan semua komponen projek di bawah MDEP ini, tetapi mereka (Kerajaan Persekutuan) kata tidak perlu pun.

“Mungkin dengan dua insiden (iaitu kekeruhan air mentah Sungai Muda terlalu tinggi pada 8 September 2022 dan paras Sungai Muda susut secara mendadak pada 14 Mei 2023) yang telahpun terjadi ini, mereka (Kerajaan Pusat) perlu melihat semula (peri penting menyegerakan komponen projek berkaitan MDEP yang tertangguh sehingga kini),” jelasnya dalam sidang media berkaitan di pejabat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini pada 16 Mei 2023.

Penjelasan lanjut Kon Yeow itu adalah susulan kenyataan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam sebuah akhbar berbahasa Mandarin semalam.

Menurut sumber akhbar tersebut, Guan antara lain dilaporkan bahawa Empangan Mengkuang boleh menyimpan sebanyak 86.4 bilion liter air, manakala Empangan Air Itam hanya boleh menyimpan 2.16 bilion air. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan turut dilaporkan berkata Empangan Mengkuang adalah 43 kali lebih besar berbanding Empangan Air Itam.

Mengambil kira kapasiti kedua-dua empangan tersebut, Guan Eng dilaporkan menyatakan bahawa kapasiti air di Empangan Mengkuang cukup untuk menampung keperluan penduduk Pulau Pinang bagi tempoh 10 bulan tanpa hujan.

Kon Yeow dengan itu menyatakan bahawa isu teras bukan kapasiti Empangan Mengkuang boleh menyimpan air sehingga 10 bulan, sebaliknya tanpa saluran paip Fasa 2B MDEP, jumlah maksimum air yang boleh dilepaskan dari empangan pada 15 Mei 2023 adalah terhad kepada 300 MLD.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa keseluruhan komponen projek di bawah MDEP dianggarkan menelan belanja kira-kira RM1.2 bilion.

Sejak tahun 2011, projek pembesaran Empangan Mengkuang dan kerja-kerja yang berkaitan untuk meningkatkan kapasiti simpanan air mentah maksimum daripada 22 bilion liter (BL) kepada 73.5BL telahpun dilaksanakan dengan kos RM607 juta dan siap pada 10 April 2017.

Dengan kos RM63.5 juta, Fasa 2A MDEP iaitu projek menaik taraf Rumah Pam Mak Sulong dan kerja-kerja berkaitan untuk meningkatkan kapasiti pengepaman air mentah (daripada 200 MLD kepada 400MLD) dari Sungai Kulim untuk mengisi Empangan Mengkuang disiapkan pada 28 September 2017.

Berikut adalah tiga lagi komponen projek berkaitan MDEP yang masih tertangguh, iaitu:-

• Fasa 2B MDEP dengan anggaran kos RM100 juta dan sepatutnya dijangka siap pada tahun 2022;

• Pemasangan paip tambahan untuk meningkatkan kapasiti pelepasan air sehingga 1,000 MLD pada bila-bila masa;

• Fasa 2C MDEP iaitu projek Pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi 440 MLD dan kerja-kerja berkaitan untuk mempercepat pengisian semula empangan dengan mengepam lebihan air mentah dari Sungai Muda;

• Cadangan pembinaan baraj baharu merentasi Sungai Muda dekat Rantau Panjang (dalam sempadan negeri Pulau Pinang) bagi menyokong operasi tambahan abstrak sumber air mentah semasa musim kemarau, untuk pengisian semula ke Empangan Mengkuang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN