Segerakan penubuhan IPCMC – Majlis Peguam

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : SHUM JIAN WEI

GEORGE TOWN – Presiden Majlis Peguam Malaysia menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera menubuhkan sebuah entiti pengawasan bebas terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenali, Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) bagi membina keyakinan lebih mendalam dalam kalangan awam terhadap pasukan keselamatan berkaitan.

Beliau, Christopher Leong berkata, IPCMC bakal berfungsi untuk menangani aduan, persepsi dan kebimbangan yang dibangkitkan orang awam terhadap pihak polis.

“Ia adalah masa yang sesuai untuk meningkatkan prestasi pihak polis dan pada masa sama, penubuhannya dapat menangani isu-isu mencabar berhubung perkhidmatan yang diamanahkan,” ucapnya pada panganjuran Forum Awam Akauntabiliti Polis di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Pengerusi Penang Bar, Abdul Fareed Abdul Gafoor.

Menurut maklumat diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan di Parlimen tahun lalu, Christopher memberitahu, terdapat 231 kes kematian dalam tahanan dilaporkan berlaku antara tahun 2000 hingga Mei 2013.

“ Pihak polis perlu memperbaiki kelemahan tertentu bagi menangani kes-kes sebegini (kematian dalam tahanan),” tegas beliau.

Sebelum itu, Guan Eng turut menyuarakan desakan sama supaya IPCMC ditubuhkan.

“IPCMC akan membantu mengelakkan kuasa polis daripada disalahgunakan.

“IPCMC bukan sahaja dapat meningkatkan integriti polis dan keyakinan orang ramai, malah, mengurangkan salah laku di dalam polis,” ujar beliau.