Segerakan projek RTB Lembangan Sungai Pinang

DATOK KERAMAT – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembangan Sungai Pinang dapat disegerakan pelaksanaannya bagi mengatasi masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk di kawasan sekitar sejak sekian lama.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan penyaluran peruntukan sebanyak RM150 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMKe-11) yang mana peruntukan tersebut juga akan diteruskan dalam RMKe-12 bagi projek berkaitan.

KETUA Menteri menerima cenderahati daripada ‘orang tua’ Kampung Kebun Lama pada majlis berkaitan.

“Saya menyeru Kerajaan Persekutuan agar menyegerakan pelaksanaan projek tersebut supaya penduduk di sepanjang lembangan Sungai Pinang dan kawasan sekitar bebas daripada musibah banjir,” tegasnya pada majlis berbuka puasa anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kebun Lama di Masjid Acheh Kebun Lama dekat sini pada 27 April 2022.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pengerusi MPKK Kebun Lama, Izwan Nizam Abdul Kader serta ahli-ahli jawatankuasa MPKK dan Masjid Acheh Kebun Lama.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau sentiasa berkomunikasi dengan mantan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Dato’ Ir. Sabri Abdul Mulok yang kini berkhidmat di JPS Malaysia, bagi mengetahui perkembangan semasa projek RTB tersebut.

“Projek ini tertangguh kerana terdapat perubahan pada reka bentuk asal yang mana memerlukan pembinaan struktur dan ia melibatkan pengambilan tanah serta penempatan semula penduduk di kawasan berhampiran Jalan Patani.

Perubahan ini perlu supaya projek tersebut lebih berkesan menangani masalah banjir di sepanjangan lembangan Sungai Pinang ini.

“(Dan) Kerajaan Negeri sedia memberi kerjasama penuh supaya projek ini dapat dilaksanakan dengan segera,” jelasnya yang juga merupakan mantan Exco Tebatan Banjir sebelum ini.

JAGDEEP Singh Deo.

Dalam pada itu, Jagdeep yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa memberitahu bahawa beliau komited untuk menangani masalah banjir di kawasan Datok Keramat.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, sukacita dinyatakan bahawa projek menaik taraf sistem perparitan di Jalan P. Ramlee dekat sini telah disiapkan yang mana sebelum ini menjadi antara punca berlakunya banjir.

“Selain projek menaik taraf itu, kita (Kerajaan Negeri) juga melaksanakan projek (menaik taraf) jalan-jalan raya di kawasan banjir bagi memastikan permasalahan banjir dibendung dan dikurangkan.

“(Dan) ia antara beberapa rancangan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri bagi mengurangkan risiko banjir di sini,” katanya yang turut menyeru agar projek RTB di Lembangan Sungai Pinang milik Kerajaan Persekutuan dapat disegerakan.
Dalam majlis sama, Jagdeep juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri atas kesudian menghadiri majlis berbuka puasa tersebut. Malah, Jagdeep turut mempelawa Ketua Menteri untuk hadir pada majlis sambutan Aidilfitri yang dirancang pada pertengahan bulan Mei nanti.
Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama Jagdeep dan Rayer meluangkan masa menyantuni penduduk yang turut hadir pada majlis itu dan menyampaikan sumbangan hamper berupakan barangan keperluan harian kepada asnaf setempat.
SUASANA pada majlis berbuka puasa di sini.
Paha kambing atau ‘lamb shank‘, udang masak mamak, teh tarik dan sate antara hidangan istimewa yang menjadi juadah berbuka puasa di sini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN