13,876 penjaja dan peniaga kecil terima manfaat bantuan khas one-off RM500 Pakej Stimulus Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Admin

DATUK KERAMAT – Sehingga 18 Jun 2020, seramai 13,876 penjaja dan peniaga kecil telah menerima bantuan khas one-off RM500 daripada Pakej Stimulus Ekonomi Negeri Pulau Pinang 1.0 dan 2.0.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, 63 peratus daripada anggaran 22,050 peniaga pasar, penggerai dan kendera saji telah siap menerima bantuan khas tersebut merangkumi RM6.94 juta (61 peratus).

“Melalui Pakej Stimulus Ekonomi Negeri Pulau Pinang 1.0 dan 2.0 yang bernilai keseluruhannya RM151 juta yang diumumkan Ketua Menteri, sebanyak RM11.37 juta daripada jumlah kedua-dua pakej tersebut telah diperuntukkan sebagai pemberian one-off berjumlah RM500 bagi membantu para peniaga, penjaja dan penggerai termasuk peniaga di pasar pagi, malam dan kendera saji.

“Jumlah selebihnya masih di dalam proses dan diharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya pada sidang media di sini pagi tadi.

Jagdeep berkata demikian sebagai respons kepada saranan yang dibuat Perdana Menteri agar pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri bersikap proaktif turun padang dan memberikan bantuan kepada peniaga yang terjejas.

Hadir sama wakil-wakil Persatuan Syukur Penyayang Pulau Pinang, Penang Fo Yi Haemodialysis Society dan Penang Buddhist Free School.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat sebelum itu menyaksikan pemberian sumbangan 1,000 keping pelitup muka daripada CNI Enterprise kepada persatuan-persatuan berkenaan.

CNI Enterprise melalui tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menyumbangkan 1,000 keping pelitup muka bernilai hampir RM20,000 dan lebih istimewanya pelitup muka yang disumbangkan adalah jenis boleh digunakan semula.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif bagi membantu golongan penjaja dan peniaga kecil di negeri ini, Jagdeep memaklumkan bahawa selain bantuan one-off berkenaan, Kerajaan Negeri juga bertindak mempermudahkan kembali operasi perniagaan golongan berkenaan.

“Bagi membangunkan semula ekonomi negeri Pulau Pinang, kita telah membenarkan dan memberi permit kepada penjaja serta peniaga kedai durian untuk beroperasi semula dengan kadar segera.

“Kita (Kerajaan Negeri) sedar jenis perniagaan yang diusahakan mereka adalah bermusim, justeru kita membantu memberi permit operasi.

“Selain itu, kebenaran operasi pasar pagi dan malam telah diberikan semula untuk memastikan lebih banyak penjaja dan peniaga kecil dapat menjana semula sumber pendapatan mereka dan merangsang ekonomi negeri.

“Sehingga 29 Jun 2020, sebanyak 34 pasar telah dibenarkan beroperasi semula merangkumi sembilan pasar pagi, pasar malam (21) dan pasar ria (4), di mana beberapa lagi berada dalam proses mendapatkan kelulusan permit daripada pihak PBT masing-masing,” ujarnya.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: LAW SUUN TING