Sekalung penghargaan, sentiasa penuhi keperluan dan permintaan bekalan tenaga

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas komitmen memenuhi keperluan tenaga di Pulau Pinang.

 

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin di Komtar pada 10 Februari 2022.

 

(Pulau Pinang) sebagai sebuah negeri perindustrian, kecekapan pembekalan tenaga adalah amat penting dalam memastikan kelangsungan industri.

 

“Terima kasih kepada TNB kerana sentiasa memenuhi keperluan dan permintaan (bekalan tenaga) di Pulau Pinang,” ujarnya.

 

Terdahulu, Hasan hadir dengan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din; Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Strategik TNB, Datuk Wira Roslan Abd. Rahman serta Pengurus Besar TNB (Pulau Pinang, Kedah, Perlis), Ir. Azmi Md. Yusof.

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari turut serta dalam pertemuan selama 30 minit itu.

 

Antara yang dibincangkan adalah mengenai projek stesen janakuasa di Gelugor, kadar tarif elektrik untuk pengguna komersial dan domestik, pemberian rebat, penarafan berperingkat bagi perkhidmatan TNB, pemerolehan bahan api, meneroka tenaga boleh diperbaharui serta mengkaji potensi cabang perniagaan baharu bagi memenuhi keperluan dan permintaan semasa.

 

Malah, difahamkan bahawa pihak TNB telah meletakkan sasaran untuk mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu sebagai bahan api dalam pembekalan tenaga secara berperingkat sehingga mencapai sifar penggunaan menjelang 2050.

 

Akhir pertemuan, Hasan menyerahkan cenderamata berupakan bingkai gambar yang memaparkan mercu tanda TNB kepada Kon Yeow dan merakam gambar sebagai kenang-kenangan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD