Sekolah Sinar Harapan terima RM50,000 sumbangan Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tiga dari kiri) dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain turut merakamkan gambar kenangan bersama-sama beberapa pelatih Sekolah Sinar Harapan yang terlibat menghasilkan kek secara komersial, di sini tadi.

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam Jelajah ‘❤️PENANG’ Ke Parlimen Permatang Pauh pada tengah hari ini turut meluangkan masa menziarahi Sekolah Sinar Harapan dekat Permatang Rawa, iaitu sekolah yang dikelolakan oleh Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Seberang Perai Tengah.

Semasa berucap, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut mengumumkan penyampaian RM50,000 sumbangan khas daripada peruntukan Ketua Menteri bagi membaik pulih pam air untuk kemudahan hidro terapi kanak-kanak terpilih di sini.

Di samping itu, Kon Yeow turut mengalu-alukan orang perseorangan dan firma bukan kerajaan supaya tampil memberikan sumbangan kepada pentadbir sekolah bagi membeli sebuah van baharu untuk kemudahan pengangkutan kanak-kanak istimewa yang tinggal dalam radius 10 kilometer (km) dari sini.

“Pada kesempatan jelajah ini, saya ingin mengumumkan sumbangan RM50,000 yang mana untuk membantu pihak sekolah membaik pulih pam air (kemudahan) hidro terapi di sini.

“Mana-mana pihak turut dialu-alukan untuk menyumbang juga bagi mencukupkan sumbangan pihak sekolah membeli van pengangkutan murid-murid yang tinggal dalam radius 10km dari sini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam majlis berkaitan di sini pada 30 Julai 2022.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memberitahu bahawa tujuan penganjuran Jelajah Ketua Menteri dengan tema ‘❤️PENANG’ antara lain demi mengajak kembali rakyat jelata untuk bangkit semula selepas terjejas dan dibelenggu dek COVID-19 sebelum ini.

“Setelah hampir dua tahun kita terkesan akibat COVID-19, inilah masanya bagi pihak Kerajaan Negeri hari ini mendahului dan memimpin sekalian rakyat jelata dari segenap lapisan masyarakat untuk bangkit semula untuk memulakan hidup yang baru,” serunya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dalam ucapannya turut mengalu-alukan semua pihak tampil memberi sumbangan dalam bentuk duit ringgit hatta masa kepada Sekolah Sinar Harapan.

“Kalau kita ada sedikit sebanyak dokongan, maka berikanlah sokongan…kalau ada duit, sumbanglah; kalau ada masa, ziarahlah anak-anak istimewa di sini,” ujarnya.

Di samping itu, Nurul Izzah turut merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana meluangkan masa menziarahi Sekolah Sinar Harapan pada tengah hari ini.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin; Pengerusi Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Seberang Perai Tengah, Tuan Haji Halim Othman dan Pengetua Sekolah Sinar Harapan, Subirin Abu Bakar turut menyertai majlis tersebut.

Ditubuhkan 6 Januari 1968, Sekolah Sinar Harapan dikatakan merupakan sekolah kanak-kanak terencat akal paling tua di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Mempunyai 11 tenaga pengajar dan 42 pelajar yang mempunyai pelbagai jenis kurang upaya, sekolah tersebut masih memerlukan dana bantuan alternatif, walaupun mendapat geran tahunan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bantuan dalam bentuk wang tunai boleh disalurkan atas nama Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal SPT menerusi Public Bank (No. Akaun: 394807010) atau CiMB (No. Akaun: 80-0413165-8).

Sebarang bertanyaan dan informasi lanjut, boleh hubungi talian 04-5397568 atau emel [email protected].

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT