Sektor pembuatan penyumbang terbesar KDNK Pulau Pinang, diikuti sektor perkhidmatan – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Pasca pandemik COVID-19, sektor pembuatan menjadi penyumbang terbesar dengan 48.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang bagi tahun 2022 yang berjumlah RM112.1 bilion serta meningkat melebihi pertumbuhan nasional iaitu 8.7 peratus.

KETUA Menteri

Pada tahun 2021 pula, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sektor pembuatan menyumbang 47.3 peratus berbanding keseluruhan KDNK Pulau Pinang (RM99 bilion) dengan pertumbuhan sebanyak 12.4 peratus.

“Ini, disokong oleh pembuatan produk elektrik, elektronik dan optikal,” jelasnya sebagai menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 23 November 2023.

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, sektor perkhidmatan pula menyumbang 46.7 peratus berbanding KDNK pada tahun 2022 dan 47.5 peratus (KDNK 2021).

Menurut beliau, sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan dua angka iaitu 11.3 peratus pada tahun 2022 berbanding 2.1 peratus pada tahun 2021.

“Sektor (perkhidmatan) ini disokong dengan lonjakan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan & minuman (F&B), penginapan serta utiliti, pengangkutan, maklumat dan komunikasi,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Tambah Kon Yeow, sektor pembinaan menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK Pulau Pinang bagi tahun 2022, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 7.9 peratus.

Sektor pertanian pula, beliau menyatakan bahawa ia berkembang pada kadar pertumbuhan 3.4 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya (2021: -2.3 peratus).

Kon Yeow dalam pada itu turut menjelaskan bahawa sektor perlombongan dan pengkuarian memulih pada angka 7.9 peratus selepas menyusut 6.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhan, ekonomi Pulau Pinang (KDNK) menyumbang sebanyak 7.4 peratus kepada ekonomi Malaysia.

“Sumbangan itu meningkat 0.3 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 7.1 peratus,” ulasnya sambil memberitahu bahawa Pulau Pinang kekal pada kedudukan kelima terbaik kepada ekonomi negara.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menyenaraikan insentif bantuan bagi membantu golongan terkesan pasc pandemik COVID-19, iaitu

* RM50,000 bantuan peralatan bagi setiap daerah untuk membantu golongan miskin serta penggerak industti desa meningkatkan ekonomi mereka

* RM40,000 setiap daerah dengan menawarkan kursus peningkatan kemahiran menjana pendapatan khusus kepada golongan miskin

* RM6.3 juta peruntukan untuk pembangunan dan penarafan industri pertanian negeri

* RM500,000 bantuan benih kerang fasa 2 bagi tahun 2023

* RM250,000 program ‘Farmer To Farmer’ (36 projek melibatkan 11 kumpulan dan 36 individu)

* RM500,000 program ‘Farmer To Farmer’ Industri (melibatkan 53 penerima dalam lapan projek secara berkumpulan dan individu).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN