Selamat bersara & terima kasih Pengarah Kastam Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menitipkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Kastam Negeri, Datuk Saidi Ismail yang bakal bersara pada 14 Februari ini.

Kon Yeow menzahirkan ucapan itu pada kunjungan Saidi ke pejabatnya di Komtar dekat sini tadi.

Menerusi ucapan ringkas itu, Kon Yeow berkata segala jasa yang dicurahkan Saidi selama tiga tahun di Pulau Pinang amatlah dihargai.

“Terima kasih dan selamat bersara,” ucap Kon Yeow.

SAIDI Ismail tengah) pada kunjungan ke Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

 

Pada pertemuan singkat itu, Saidi turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana sering bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tanpa hubungan yang baik antara JKDM dan Kerajaan Negeri, takkan berjaya capai apa-apa jua kejayaan kini.

“(Dan) pihak JKDM akan meneruskan hubungan baik ini walaupun JKDM merupakan jabatan persekutuan namun tetap berkhidmat di bawah satu negeri,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan JKDM terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kehadiran Saidi di Komtar diiringi Ketua-Ketua Bahagian Kastam Negeri serta pegawai dari Cawangan Pengurusan Korporat.

Selain itu, Saidi menyuarakan kekhuatiran mengenai penularan wabak coronavirus (2019-nCoV) yang perlu dihadapi oleh pegawai-pegawai kastam yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Pelabuhan Pulau Pinang.

Malah, beliau berharap ia dapat dibendung dengan langkah-langkah proaktif yang dijalankan oleh pelbagai pihak kini.

Dalam pada itu, Saidi turut memaklumkan mengenai bidang tugas JKDM termasuk perkhidmatan kastam di Zon Perindustrian Bebas di negeri ini.

Pada kesempatan itu juga, Saidi berharap agar JKDM Pulau Pinang terus diperkasakan sebagai pihak berkuasa dan mengalu-alukan sebarang penambahbaikan yang konstruktif pada masa hadapan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG