Selami kemerdekaan, pupuk semangat perpaduan dan tolak segala unsur-unsur yang mahukan rakyat Malaysia berpecah-belah, seru Kon Yeow

BAYAN LEPAS – Nilai kemerdekaan yang diraikan bukan sahaja merdeka daripada dijajah, namun yang paling penting, keupayaan kita semua untuk hidup bersatu-padu dalam suasana harmoni dalam negara tercinta ini.

Perkara tersebut diucapkan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow sebelum melepaskan 300 peserta Larian Merdeka Bayan Lepas 2019 di Jalan Rajawali dekat sini malam tadi.

“Sebagai rakyat, marilah kita ambil semangat kemerdekaan ini untuk memupuk semangat perpaduan dan menolak segala unsur-unsur yang mahukan rakyat Malaysia berpecah belah.

“Kita perlu berusaha untuk memastikan kemerdekaan yang telah dicapai selama ini dapat dipertahankan dan diisi dengan sebaik mungkin termasuk mengukuhkan hubungan baik antara kaum.

“Ini kerana, keharmonian, perpaduan serta toleransi yang dipupuk dapat menjamin keamanan dan kedamaian dalam negara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Turut hadir, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A. Anbalagan dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat selaku penganjur.

Tambah Kon Yeow, sempena kemerdekaan yang disambut untuk kali ke-62 berkaitan, Kerajaan Pakatan Harapan mengangkat tema “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”.

“Tema ini menitik berat hasrat Kerajaan untuk memupuk semangat cintakan negara dan mengeratkan lagi jalinan perpaduan serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan rakyat yang mempunyai jati diri dan berintegriti,” jelas Ahli Parlimen Tanjong itu.

Dalam acara larian tersebut, para peserta berlari santai sekitar Bayan Lepas sejauh tiga kilometer.

Antara tarikan lain termasuk hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik dan basikal.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD