Selaraskan semula status tanah, warta 25 bandar baharu demi tingkatkan kecekapan pentadbiran

Admin
whatsapp image 2025 09 17 at 14.38.36

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengumumkan pewartaan pindaan sempadan bagi 10 bandar sedia ada serta pewujudan 25 bandar baharu di negeri ini bagi menyelaraskan klasifikasi tanah dengan kepesatan pembangunan ekonomi dan sosial semasa.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pindaan tersebut telah diwartakan pada 4 September lalu melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaras Seksyen 11(ca) dan 11(d) Kanun Tanah Negara (Akta 828), melibatkan lebih 210,000 hak milik tanah dan 184,000 hak milik strata.

Kerajaan Negeri berpandangan bahawa sejak pewartaan bandar-bandar sedia ada dibuat pada tahun 1966, sebahagian besar kawasan yang masih berstatus tanah desa seperti Bayan Baru, Bukit Jambul, Seberang Jaya, Bandar Perda, Bandar Cassia, Simpang Ampat, Telok Air Tawar dan Bertam telah membangun begitu pesat dan kepadatan penduduk juga meningkat dengan ketara.

“Maka, penyelarasan semula ini penting untuk memastikan pentadbiran dan pembangunan negeri terus cekap dan teratur selaras dengan Dasar Perbandaran Negara Ke-2 (DPN2) 2018-2025,” ujarnya pada sidang media di Komtar dekat sini sebentar tadi.

whatsapp image 2025 09 17 at 14.38.37
KETUA Menteri bersama-sama barisan Exco Kerajaan Negeri dan ex-officio menunjukkan peta kawasan yang terlibat dengan pewartaan pindaan sempadan pada sidang media di sini, tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Bukan Islam, Lim Siew Khim dan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai.

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin dan Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) PTG Pulau Pinang, Mohd. Lokman Hakim Syed Sultan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa pindaan ini juga akan memperkukuh kutipan hasil negeri melalui sistem percukaian tanah yang lebih adil dan saksama.

Pindaan ini juga sebenarnya amat penting dalam usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran daerah dan pembangunan negeri menjelang tahun 2030.

“Pada masa sama, ia akan dapat meningkatkan kecekapan pengurusan hasil negeri khususnya melalui kutipan cukai tanah dan cukai petak, sekali gus mewujudkan sistem pencukaian tanah yang lebih adil dan saksama kepada semua pemilik tanah di Pulau Pinang memandangkan pewartaan bandar sedia ada dibuat hampir 60 tahun lalu,” ulasnya.

Menurut beliau, pentafsiran DPN2 mendefinisikan istilah ‘Bandar’ sebagai kawasan yang diwartakan serta kawasan tepu bina yang bersempadan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk berjumlah 10,000 orang atau lebih.

“Selain itu, ‘Bandar’ juga merujuk kepada kawasan pentadbiran daerah walaupun penduduknya kurang 10,000 orang tetapi sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk berumur 15 tahun dan ke atas serta terlibat dalam aktiviti bukan pertanian,” jelasnya sambil merujuk kepada 11 kriteria yang menjadi panduan dalam menetapkan sempadan sesuatu bandar.

Jelas Kon Yeow lagi, antaranya adalah saiz penduduk, faktor geografi seperti topografi berbukit atau sungai sebagai garis sempadan, kawasan sensitif alam sekitar, kawasan tepu bina, kawasan ‘brownfield’, kawasan pembangunan komited, sempadan lot, jajaran jalan utama, kawasan berpotensi dari segi ekonomi dan sosial serta berpotensi untuk dibangunkan dalam Rancangan Pembangunan.

Tambah beliau, berdasarkan hierarki baharu secara keseluruhannya terdapat 42 bandar di Pulau Pinang kini.

Bandar sedia ada yang diperluas adalah Bayan Lepas, Balik Pulau, Batu Ferringhi, Tanjong Bungah, George Town, Bukit Mertajam, Sungai Bakap, Nibong Tebal, Kepala Batas dan Butterworth.

“Manakala tujuh yang lain dikekalkan membabitkan kawasan Tanjong Tokong, Tanjong Pinang, Air Itam, Jelutong, Bukit Bendera, Perai dan Gelugor.

“Bagi ‘Bandar Baharu’ pula, melibatkan kawasan seperti Bayan Baru, Batu Maung, Sungai Ara, Pulau Silikon, Bukit Jambul, Puncak Penara, Perdana Mutiara, Pinang Emas, Bayu Emas, Lembah Permai, Alma, Bukit Minyak, Bukit Tengah, Bandar Perda dan Seberang Jaya.

“Ini termasuk juga kawasan Jawi, Bandar Cassia, Simpang Ampat, Bandar Tasek Mutiara, Sungai Dua (di Seberang Perai Utara), Teluk Air Tawar, Bertam,Tasek Gelugor, Pokok Sena dan Ara Kuda.

“Manakala, selain daripada senarai ini, kawasan-kawasan lain masih kekal diklasifikasikan sebagai ‘Desa’,” ujarnya.

whatsapp image 2025 09 17 at 15.42.55
SENARAI cadangan 10 bandar yang diperluaskan serta 25 bandar baharu yang diwartakan baru-baru ini.

Dalam sidang media sama, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut mengumumkan perubahan kadar cukai tanah dan cukai petak yang akan berkuat kuasa mulai 2026, melibatkan lebih 210,000 hak milik tanah dan 184,000 hak milik strata.

Walau bagaimanapun, bagi mengurangkan beban rakyat, Kerajaan Negeri telah bersetuju menangguhkan pelaksanaan perubahan kadar baharu cukai petak strata sehingga tahun 2027.

“Ini bermakna semua pemilik iaitu lebih 300,000 petak strata akan terus membayar kadar sedia ada pada 1 Januari 2026 dan kadar baharu yang dicadangkan akan diumumkan dalam sidang media susulan pada Jumaat ini (19 September 2025),” katanya.

Berikut adalah peta kawasan pewartaan pindaan sempadan melibatkan kesemua daerah:

whatsapp image 2025 09 17 at 15.24.49 (3) whatsapp image 2025 09 17 at 15.24.49 (2) whatsapp image 2025 09 17 at 15.24.49 (1) whatsapp image 2025 09 17 at 15.24.49 whatsapp image 2025 09 17 at 15.24.48

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING